Tumpuan :
Nasional

Jabatan Kesihatan Melaka keluar kompaun RM27,500 dalam Ops TBC

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) mengeluarkan sembilan notis kompaun bernilai RM27,500 atas pelbagai kesalahan dilakukan pemilik premis perniagaan dalam Ops Tahun Baharu Cina (TBC) di sekitar negeri itu yang berakhir semalam.

Dalam operasi bermula 8 Januari lalu, sebanyak 450 jenis barangan bernilai RM2,381 dirampas.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Rusdi Abd. Rahman berkata, pemeriksaan ditumpukan kepada pasar raya, kedai runcit dan pasar mini.

“Dalam pemeriksaan ini kita mengesan pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 yang dilakukan pemilik premis melibatkan keadaan bungkusan, pelabelan dan makanan yang telah melepasi tarikh luput.

“Ia meliputi pembungkus rosak, pecah, tin yang kemek dan berkarat, makanan dalam tin yang berkulat seperti sardin, cendawan, kiub perencah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Rusdi, dalam tempoh 1 Januari lalu hingga semalam, sebanyak 97 premis makanan diambil tindakan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Makanan 1983.

Daripada jumlah itu kata beliau, sebanyak RM26,650 nilai kompaun dikenakan terhadap pemilik premis makanan yang dikesan melakukan kesalahan.

“Antara kesalahan yang dikenakan tindakan kompaun adalah makanan ditempatkan atau diletakkan di atas lantai, tidak mempunyai suntikan dan kursus pengendalian makanan serta tidak memakai apron,” katanya.

Bagaimanapun ujarnya, sehingga kini tiada premis makanan diarah tutup.

Sementara itu kata Dr. Rusdi sepanjang tahun lalu, sebanyak 58 premis makanan diarah tutup ekoran keadaan yang terlalu kotor.

Menurut beliau, dalam tempoh sama, pihaknya mengeluarkan 1,664 notis kompaun bernilai RM211,650 terhadap premis yang melanggar peraturan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

“JKNM menasihatkan semua premis makanan termasuk restoran, kedai makan, gerai, pasar raya, kedai runcit dan pasar mini hendaklah menjaga kebersihan premis serta sentiasa memastikan makanan yang dijual tidak tamat tarikh luput serta mematuhi keperluan pelabelan makanan.

“Kami akan meningkatkan pemantauan ke atas semua premis jualan makanan di sekitar Melaka bagi memastikan pematuhan ke atas Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

“JKNM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna,” katanya.

Tambah Dr. Rusdi, pihaknya melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan akan terus menjalankan aktiviti pemantauan keselamatan makanan di sekitar negeri berkenaan dari semasa ke semasa.

Loading...
Terkini