GELANG PATAH: Mengubah suai kontena bagi tujuan menyeludup rokok ke luar negara akhirnya berjaya dibongkar Jabatan Kastam Diraja Negeri Johor.
Kejayaan itu, hasil serbuan sepasukan anggota JDKM di Pelabuhan Johor, Pasir Gudang 9 Disember lalu.
Pengarah JKDM Johor Misbahudin Parmin berkata, sepasukan anggota jabatan Narkotik telah menyita sebuah kontena, di pelabuhan itu kira-kira jam 11.35 pagi.
Hasil pemeriksaan ke atas kontena itu bersama ejen dan wakil syarikat, telah telah menemui 428,000 batang rokok putih bernilai RM426,00 termasuk cukai yang dipercayai untuk diseludup ke Australia.
Susulan itu seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati rokok putih itu diseludup masuk ke Malaysia dan disimpan sementara sebelum dieksport.
“Pihak syarikat telah menempah satu unit kontena 40 kaki daripada sebuah syarikat pengangkutan dan diletakkan di kawasan Perindustrian SILC, Gelang Patah, Johor dimana bahagian lantai kontena itu telah diubahsuai bagi meletakkan rokok putih yang diseludup.
“Bagi mengaburi kegiatan mereka pihak syarikat telah membuat dua kali tempahan tisu daripada sebuah syarikat di Puchong, Selangor untuk dieksport ke salah sebuah negara dalam benua Australia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Kompleks Penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai, Gelang Patah pagi tadi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu mengangkut barang tidak lulus kastam.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda maksima 20 kali ganda cukai atau penjara maksima lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam kes berasingan, Misbahudin berkata, pihaknya turut berjaya menumpaskan cubaan eksport tanpa permit enam kontena berisi besi skrap bernilai RM381,900 termasuk cukai di Pelabuhan Klang, Selangor.
Serbuan dilakukan sepasukan anggota JKDM daripada Bahagian Penguatkuasaan Sungai Pulai dan dibantu Pihak Berkuasa Zon Bebas Pelabuhan Klang kita-kira jam 12.30 tengahari, pada 5 Disember lalu.
Menurut Misbahudin, modus operandi sindiket terbabit adalah dengan membuat ikrar palsu dalam Borang Kastam 2.
Ia bertujuan mengelak daripada dikenakan duti eksport dan mengemukakan permit Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi mengaburi pandangan pihak berkuasa.
“Hasil pemeriksaan rapi ke atas enam buah kontena terbabit mendapati kontena 20 kaki itu mengandungi besi skrap yang dipercayai tidak mempunyai permit eksport yang sah.
“Dagangan metal scrap adalah larangan eksport dan tertakluk kepada Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2017 dimana pengeskportan dagangan ini memerlukan permit dari MITI,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967.
Sabit kesalahan boleh didenda maksima RM500,000 atau penjara maksima tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.
Kes turut disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu mengangkut barang tidak lulus kastam yang memperuntukkan hukuman denda maksimum 20 kali ganda cukai atau penjara maksima lima tahun atau kedua-duanya sekali.