Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Semua jabatan dan agensi kerajaan diminta untuk menangguhkan penganjuran kursus atau mesyuarat di Kelantan serta Terengganu susulan keadaan banjir di dua negeri tersebut.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu supaya mengelak mereka menjadi mangsa bencana berkenaan.
“Kita mohon juga supaya hotel-hotel penginapan diberikan keutamaan kepada pegawai dan anggota penyelamat dahulu.
“Ini kita terpaksa lakukan kerana kita memberikan keutamaan
kepada mangsa-mangsa banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kecemasan bencana banjir bersama agensi berkaitan, di sini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara (JPBN) melahirkan kebimbangan berikutan ramalan air pasang besar pada minggu depan khususnya di Pantai Timur Semenanjung.
Justeru, beliau meminta JPBN, agensi berkaitan dan badan bukan kerajaan (NGO) diatur gerak supaya risiko banjir dapat dikurangkan.
“Walaupun setakat ini di Pahang dan Johor belum terjejas (banjir) tetapi kita jangkakan di awal Disember, Pahang dan Johor akan terjejas kerana menerima luruan hujan dan juga air di sungai yang akan melimpah daripada Terengganu ke Pahang dan air sungai daripada Pahang akan melimpah ke Johor.
“Tindakan kita mengikut panduan daripada Jabatan Meteorologi (METMalaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam perkara ini untuk mengatur gerak ke kedua-dua negeri ini tetapi keutamaan kita sekarang adalah untuk Kelantan dan Terengganu,” katanya.
Pada masa sama, beliau meminta ibu bapa memantau keselamatan anak mereka.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid menegaskan, aspek kawalan di sempadan tidak dikompromi meskipun negara dilanda banjir.
“Dari segi kawalan itu tetap berjalan sebab kita ada anggota Rejimen Sempadan dan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang terus mengadakan kawalan di sempadan-sempadan,” katanya.
Terdahulu, Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, lima daripada 13 pos statik PGA dalam penugasan Op Taring Wawasan di sempadan Malaysia-Thailand, Sungai Golok telah ditutup akibat terjejas banjir.
Beliau berkata, kelima-lima pos berkenaan ditutup kerana dinaiki air hingga paras lantai dan mengancam keselamatan anggota PGA yang bertugas.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.