SERDANG: Pelakon, pelawak dan pengacara veteran, Jaafar Onn, 73, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultan Idris Shah Serdang, kira-kira jam 11.30 pagi tadi.
Berita pemergian Jaafar atau nama sebenarnya, Jaafar Onn Awang disahkan oleh anak angkatnya, Mohamad Hanif Hashim.
Hanif berkata, urusan proses pengurusan jenazah dan pengebumian masih dalam perbincangan bersama keluarga arwah.
Sebelum itu, Hanif memberitahu, Jaafar ditahan di wad Hospital Sultan Idris Shah Serdang sejak kelmarin, akibat berlaku pendarahan semasa membuang air besar.
Hanif berkata, doktor sedang berusaha memberikan bantuan pernafasan selepas kritikal dan jantungnya terhenti, pagi tadi.
Sebelum ini, Jaafar mengakui mengalami masalah injap jantung yang mengakibatkan kakinya membengkak sehingga perlu menggunakan kerusi roda sejak enam bulan lalu.
Berikutan itu, Jaafar berkata, dia perlu menjalani beberapa prosedur rawatan di hospital untuk mengetahui lebih lanjut mengenai keadaan kesihatannya yang merosot, sejak tahun lalu.
Semalam, pelakon yang juga penyanyi itu telah dikejarkan ke hospital sama selepas mengalami najis berdarah serta tekanan darah yang rendah.
Kesihatan pelakon yang terkenal menerusi drama bersiri ‘Cili Padi’ di TV3 itu mula merosot sejak Oktober lalu, selepas dimasukkan ke Hospital Serdang akibat sesak nafas.
Ikuti strim langsung solat jenazah dan pengebumian Allahyarham di YouTube dan Facebook Buletin TV3.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.