comscore
Tumpuan :
Hiburan

‘Itu semua fitnah, saya tidak curang’ – Diana

Diana di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam, pagi tadi. – FOTO: NSTP

SHAH ALAM: Pelakon Diana Danielle, 32 menafikan dakwaan suaminya, Farid Kamil, 42, bahawa dirinya curang hingga dikatakan menjadi punca keretakan rumah tangga yang dibina sejak 2012.

“Itu semua fitnah. Masalah yang timbul adalah kesalahan dia 100 peratus. Kalau betul ada orang ketiga, kenapa dia hendak belikan cincin kahwin saya?

“Kalau ‘kantoi’ kenapa hendak bawa bunga? Bayangkan cincin yang dia nak bagi tadi sudah dia hilangkan selama lapan tahun.

“Tetapi, baru hari ini dia hendak beri semula cincin perkahwinan kami selepas lapan tahun,” katanya ditemui pemberita di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini, hari ini.

Terdahulu, ketika ditemui pemberita, Farid, 42, mendakwa keretakan rumah tangga bersama Diana, 32, berpunca kehadiran orang ketiga.

Farid mendakwa mengetahui perkara itu sejak tahun lalu.

Diana dan Farid hadir bagi memaklumkan mahkamah berhubung pelantikan wakil dalam Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi menyelesaikan konflik rumah tangga mereka, selepas Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.

Pada 10 Mac lalu, Diana memfailkan perceraian terhadap Farid.

Diana berkata, tindakan Farid membawa sebentuk cincin dan sejambak bunga bukan untuk menyelamatkan perkahwinan, sebaliknya, didakwa dilakukan atas kepentingan sendiri.

“Iya, saya masih dengan keputusan untuk bercerai. Dia bukan cuba hendak menyelamatkan rumah tangga, tetapi hendak selamatkan air mukanya sahaja,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Farid yang sudah 23 hari tidak bertemu anak, Diana berkata, anaknya, Aurora dalam keadaan trauma.

“Aurora trauma,” katanya ringkas sebelum memasuki kereta.

Terdahulu, Farid tiba di mahkamah di sini kira-kira jam 9 pagi membawa jambangan bunga mawar untuk Diana. Farid turut membawa sebentuk cincin sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-11.

Diana hadir lebih awal pada 8.55 pagi bersama pengawal peribadi.

Loading...
Terkini