Tumpuan :
Nasional

“Itu bukan keputusan saya seorang” – Apandi

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menegaskan tindakan mengklasifikasikan kertas siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) bukan diputuskan oleh beliau.

Sebaliknya, Mohamed Apandi berkata keputusan itu dibuat secara kolektif oleh pasukan petugas di Pejabat Peguam Negara (AGC) ketika itu.

Katanya, pasukan petugas ketika itu terdiri daripada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan juga polis.

“Mesti ada alasan untuk perkara itu diklasifikasikan sebagai NFA, namun tanpa kertas siasatan dan minit, saya tidak ingat alasannya. Ia berlaku lapan tahun lalu (11 September 2015).

Namun yang saya ingat untuk meneliti kertas siasatan, kami di AGC juga mempunyai pasukan petugas. Apa pun keputusan yang dibuat, ia adalah keputusan kolektif pasukan petugas,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz di Mahkamah Tinggi, semalam.

Zeti berkata walaupun bukti terlalu banyak dikumpul dan direkodkan BNM mengenai penyelewengan dalam 1MDB, Peguam Negara memutuskan kertas siasatan diklasifikasikan sebagai NFA.

Mengulas lanjut, Mohamed Apandi berkata di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara mempunyai kuasa untuk mengklasifikasikan kes sebagai NFA sekiranya terdapat alasan yang kukuh.

Bagaimanapun, katanya bagi memastikan ketelusan dalam perkara itu, beliau mengambil tindakan untuk membuat keputusan secara kolektif.

Loading...
Terkini