comscore
Tumpuan :
Nasional

Isu tunggakan KWSP pekerja: Shuib akui sedang bayar secara ansuran

FOTO: Tangkap layar video Shuib / Facebook Shuib Sepahtu

KUALA LUMPUR: Pelawak Shuib yang juga usahawan perniagaan minuman, tampil menjelaskan syarikatnya sedang melunaskan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tertunggak kepada pekerja secara berperingkat.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad mendakwa masalah itu berpunca daripada pengurusan lama syarikatnya.

Katanya, dia dan rakan kongsi mengambil alih pengurusan syarikat, November tahun lalu dan sedang menyelesaikan masalah yang ditimbulkan pihak terdahulu.

“Kami tahu ada tunggakan sebanyak ini di mana kami tidak boleh bayar sekaligus,” katanya yang membuat kenyataan berhubung isu tunggakan caruman KWSP pekerja syarikatnya melalui video dimuat naik di laman sosial, malam tadi.

“2023 bukanlah tahun yang baik untuk industri makanan dan minuman (F&B). Saya mengaku jualan kami merudum hingga tidak dapat mencarum KWSP bagi pekerja.

“Cuma, apabila surat layang dikeluarkan, ia kelihatan seolah-olah kami langsung tidak ambil tahu soal caruman KWSP pekerja.

Tambahnya, hasil rundingan bersama KWSP, syarikat dibenar melunaskan bayaran tunggakan caruman secara ansuran.

“Saya hendak beritahu, sebenarnya, dari awal tahun ini, kami sudah berhubung dengan KWSP dan memaklumkan kepada pegawai badan itu mengenai situasi yang berlaku.

“Kami akan bayar kerana itu kewajipan sebagai majikan. Alhamdulillah, kami ada buat pembayaran, banyak juga yang sudah dijelaskan. Cuma, kami masih menunggu keputusan mengenai berapa kali bayaran ansuran yang dibenarkan,” katanya.

Shuib turut memohon maaf kepada kakitangan termasuk mereka yang sudah berhenti bekerja dan berjanji menyelesaikan masalah itu secepat mungkin.

“Saya ingin beri pujian kepada pekerja yang masih setia dan faham atas apa yang berlaku kepada syarikat sekarang,” ujarnya.

Sementara itu, Shuib menegaskan, sejak lebih tiga tahun mengusahakan syarikat minuman itu, pihaknya tidak pernah memotong gaji pekerja.

“Walaupun kami lalui saat genting akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), syarikat tidak pernah potong gaji pekerja. Kami juga tidak pernah lari daripada bayar gaji sampai hari ini,” jelasnya.

Baru-baru ini, tular di aplikasi TikTok paparan surat terbuka daripada seorang individu mendakwa syarikat diasaskan Shuib gagal membayar caruman KWSP kepada pekerja.

Antara lain surat terbuka mendakwa syarikat berkenaan membuat tolakan caruman KWSP kepada pekerja setiap bulan, namun, tiada transaksi dikatakan berlaku dalam akaun pekerja.

Loading...
Terkini