comscore
Tumpuan :
Nasional

Isu telur, harga munasabah jadi fokus Mat Sabu

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu

Oleh Ridhwan Rusydi Azri Roslan

PUTRAJAYA: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, akan menjadikan isu bekalan barangan keperluan terutama telur dan ayam serta harga yang munasabah sebagai fokus utamanya.

Mohamad berkata, isu bekalan makan dengan harga yang munasabah memerlukan perhatian serius seiring dengan ramalan ekonomi dunia akan mengalami kemerosotan pada tahun hadapan.

Menurutnya, kementerian itu adalah ‘nafas’ baru buatnya, yang sebelum ini pernah memegang ‘portfolio’ sebagai Menteri Pertahanan.

“Perkara pertama yang saya lakukan adalah akan mendengar taklimat sebelum merangka apa-apa perkara manakala benda yang tersedia, diteruskan dan benda baharu akan dibincang bersama pegawai yang sememangnya berpengalaman.

“Saya akan lihat soal harga makanan terutama telur kerana dari golongan miskin sehingga atasan, mereka makan telur. Di samping itu juga isu ikan dan ayam akan diberikan perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengimbas kad perakam waktu Menteri sebagai tanda memulakan tugas secara rasmi di pejabatnya jam 1.36 petang tadi.

Beliau turut disambut Ketua Setiausaha Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Haslina Abdul Hamid.

Menurut Mohamad, pihaknya akan mendapatkan gambaran sebenar situasi yang berlaku melalui taklimat dalam mencari kaedah terbaik terhadap langkah keterjaminan bekalan makanan.

Selain itu, ketika menjawab mengenai jika terdapat sebarang skim kawalan harga untuk perayaan yang bakal menjelang, kata beliau perkara tersebut akan dibincangkan terlebih dahulu selepas mendengar taklimat daripada pengurusan tertinggi lain.

“Bagi saya apa keterjaminan makanan dengan harga munasabah itu penting. Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkali-kali membangkitkan isu ini ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan selepas mengangkat sumpah Perdana Menteri.

“Selepas saya mendapat gambaran sebenar dan mencari kaedah terbaik, barulah satu kenyataan bersama Datuk Seri Salahuddin Ayub yang menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan dibuat,” ujarnya.

Ditanya sama ada isu kekurangan bekalan keperluan asas tidak berulang lagi, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu tidak boleh memberi jaminan kerana ia bergantung kepada ekonomi dunia.

“Lihat sahaja peperangan antara Ukraine dan Russia yang sememangnya tidak dijangka akan berlaku dan akhirnya memberi kesan kepada baja dan sektor pertanian negara.

“Bagaimanapun, saya bersama pegawai kementerian ini akan mencari jalan untuk cuba mengatasi dengan cara terbaik,” tambahnya

Untuk rekod, Mohamad Sabu sebelum ini pernah menyandang jawatan Menteri Pertahanan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada tahun 2018.

Namun, Ahli Parlimen Kota Raja itu diumumkan sebagai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, jumaat lalu.

Loading...
Terkini