Tumpuan :
Nasional

Isu sijil halal: PRESMA cadang sesi libat urus JAKIM bersama peniaga kecil bumiputera 

PETALING JAYA: Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) hari ini mencadangkan agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengadakan sesi libat urus bersama peniaga kecil Bumiputera mengenai isu sijil halal.

Jelas Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan, cadangan JAKIM untuk mewajibkan sijil halal kepada semua restoran tidak menyajikan daging babi dan alkohol amat dialu-alukan.

Namun, perlu kajian lebih mendalam dan menyeluruh dengan melibatkan semua pemegang taruh.

“Kesedaran dan galakan kepada pemegang taruh perlu menjadi keutamaan berbanding meletakkan kewajipan mandatori yang dikhuatiri menjadi permasalahan kepada pengusaha restoran yang tidak mempunyai modal yang besar.

“Umum mengetahui, hampir keseluruhan restoran peniaga Melayu di Malaysia menyajikan makanan halal tetapi majoriti daripada mereka belum memiliki sijil halal.

“PRESMA mencadangkan supaya sesi libat urus terutama bersama peniaga kecil bumiputera perlu diadakan terlebih dahulu untuk kita memahami cabaran yang dihadapi peniaga dari sudut kekangan kewangan susulan kos yang tinggi untuk proses permohonan dan pematuhan pensijilan halal,” jelasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Jawahar, antara kekangan yang dihadapi peniaga kecil Bumiputera termasuk aliran proses dengan syarat yang ketat.

Sebalik itu juga, golongan terbabit mempunyai sumber yang terhad bagi mengeluarkan perbelanjaan yang besar demi mendapatkan kelulusan sijil halal.

“Saya amat yakin tiada pengusaha restoran yang menyediakan makanan halal dengan sengaja tidak mahu melakukan permohonan pensijilan halal kerana pengesahan status halal oleh JAKIM pastinya memberikan keyakinan kepada seluruh pelanggan mereka malah reputasi agensi ini turut mendapat kepercayaan di peringkat antarabangsa.

“Sebarang usaha dan cadangan memberikan kesedaran kepada pengguna tentang makanan halal dan berkualiti wajib diberi dukungan penuh demi kebaikan seluruh masyarakat Islam serta rakyat Malaysia amnya.

“Pertimbangan melaksanakan sesuatu dasar yang inklusif perlulah mengambil kira persediaan ekosistem yang tidak membebankan para peniaga yang mengendalikan perniagaan dalam skala yang kecil agar tiada yang terpinggir dalam rangka kerajaan memartabatkan industri halal di Malaysia,” katanya lagi.

Disamping itu, PRESMA ujarnya turut berharap agar tiada pihak yang cuba mengambil kesempatan mempolitikkan isu ini serta cubaan melaga-lagakan rakyat melalui sentimen bangsa dan agama.

Sebaliknya, perbincangan secara mendalam boleh dilakukan bagi menerima pelbagai perspektif pandangan tanpa sebarang bentuk provokasi melampau.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini