Oleh: Kumaran Rajamoney
ALOR SETAR: PAS Kedah menyatakan sokongan terhadap kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa pemilikan Pulau Pinang oleh Kedah adalah fakta sejarah.
Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Ahmad Yahaya dalam satu kenyataan menegaskan fakta itu tidak boleh diputarbelit dan mempunyai sokongan kajian yang kukuh.
“Mempertahankan naratif sejarah Pulau Pinang adalah milik Kedah bukan suatu perlakuan jenayah dan tidak ada merit untuk mengklasifikannya sebagai suatu bentuk hasutan yang termaktub di bawah Akta Hasutan.”
“Perdana Menteri tidak harus secara berterusan mempolitikkan isu ini. Kecaman dan tekanan yang dihamburkan terhadap Kedah bertitik tolak daripada dendam kekalahan besar PH dalam PRU ke-15 yang lalu,” katanya.
Tambahnya, Kerajaan Kedah telah berulangkali menuntut hak pajakan Pulau Pinang, penyelesaian isu caj air mentah serta kelulusan projek Kedah Aerotropolis.
“Malangnya kesemua ini sengaja didiamkan serta dilengahkan tidak sebagaimana pantasnya Perdana Menteri tersinggung dengan isu pemilikan Pulau Pinang pada hari ini.”
Ahmad menambah, PAS turut berpegang kepada pendirian isu ini tidak harus disamakan dengan isu tuntutan Kesultanan Sulu ke atas Sabah mahupun hubungan Siam dengan Kedah.
Ini kerana, isu Pulau Pinang milik Kedah yang dibangkitkan pada hari ini tidak melibatkan kedaulatan sempadan negara.
Polis akan mengambil keterangan Muhammad Sanusi hari ini, berhubung kenyataannya yang mendakwa Pulau Pinang milik Kedah.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Saaduddin dilaporkan berkata, rakaman percakapan terhadap Menteri Besar itu dibuat mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.