
KUCHING: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata isu penangguhan pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU) oleh kerajaan Sarawak, sudah selesai.
Bagaimanapun katanya, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli tetap akan datang ke Sarawak untuk berjumpa kerajaan Sarawak berhubung isu itu.
“Sebenarnya tidak ada apa yang hendak dibincangkan lagi. Isu itu kita sudah selesaikan dengan baik. Pendaftaran (PADU) di Sarawak juga baik, (namun) ada beberapa keputusan kita terima dan sudah tanganinya dengan baik,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika ditemui sebelum beliau bergerak balik ke Kuala Lumpur selepas menunaikan solat Maghrib di Masjid Al-Mutaqqin, di sini, hari ini.
Rabu lalu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata Kementerian Ekonomi akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan Sarawak bagi membincangkan isu penangguhan pendaftaran PADU di Sarawak.
Beliau berkata pertemuan itu dijadual minggu depan dengan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli serta barisan pegawainya mengesahkan akan berkunjung ke Kuching.
Sementara itu, mengenai satu lagi kejadian serangan bom membabitkan cawangan KK Super Mart, Anwar berkata, semua pihak tudak harus mengambil tindakan sendiri ketika berdepan dalam isu sensitif.
“Kita sudah bagi amaran, jangan ambil tindakan sendiri. Kita akan bertindak terhadap orang yang lakukan tindakan keganasan.”
“Jangan guna isu kaum dan agama untuk memporak-porandakan negara dan saya sudah beritahu polis tidak akan bertolak ansur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian terbaharu yang berlaku awal pagi ini apabila KK Mat di Sungai Isap, Kuantan dibaling dengan molotov cocktail.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Baki 4 hari, 8.79 juta sudah mendaftar PADU – Kementerian Ekonomi
- Lebih 7.36 juta kemas kini maklumat dalam sistem PADU
- [VIDEO] PM minta Rafizi jelaskan isu PADU kepada Jemaah Menteri minggu depan
- PADU: Kerajaan tidak cadang lanjut tempoh pendaftaran
- Kerajaan Persekutuan hormati keputusan Sarawak tangguhkan pendaftaran PADU
- Rafizi jumpa kerajaan Sarawak minggu depan, bincang isu PADU