Oleh : Rusyaidi Hafiz Shahid
PETALING JAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, bertitah isu kenyataan dikeluarkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, dalam satu ceramah di negeri itu, yang dianggap menghina institusi Diraja Selangor, sebagai masih belum selesai.
“Perkara ini masih belum selesai,” titah baginda menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office hari ini.
Terdahulu baginda menerima menghadap Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.
Pertemuan secara berasingan itu membincangkan mengenai kenyataan dikeluarkan Sanusi dalam satu ceramah beliau di Selangor baru-baru ini, yang dianggap menghina institusi Diraja Selangor.
Semalam, Sanusi memohon ampun kepada Sultan Sarafuddin menerusi warkah kepada baginda yang diutuskan, kelmarin.
Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, permohonan maaf itu tidak bermakna siasatan polis ke atas lebih 57 laporan yang dibuat ke atas Sanusi dihentikan.
Siasatan ke atas Sanusi berkaitan 3R (agama, bangsa, institusi diraja) , dilakukan mengikut Kanun Keseksaan, Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sebelum itu, Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) menerusi catatan di Facebook menyatakan beliau sudah mengutus warkah kepada Sultan Selangor memohon ampun dan maaf atas kenyataannya sebelum ini.
Sanusi juga sudah memberi keterangan kepada polis Bukit Aman, jam 2 pagi kelmarin.
Bagaimanapun, beliau tetap mendakwa ucapannya sengaja diputar belit bagi menimbulkan kefahaman yang salah.