Tumpuan :
Nasional

Isu perumahan Bestari Jaya berjaya diselesaikan selepas 27 tahun

Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa mendapatkan maklumat terkini mengenai isu komuniti India dengan Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan.

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Isu perumahan komuniti India di Bestari Jaya, Tanjung Karang yang tertangguh selama 27 tahun telah berjaya diselesaikan.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, perkara itu hasil komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menangani isu-isu masyarakat India di negara ini.

“Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa memberi perhatian terhadap isu-isu spesifik melibatkan semua kaum, termasuk kaum India.

“Saya mewakili masyarakat India di negara ini ingin merakamkan ‘Nandri’ kepada PM Anwar Ibrahim dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kerana berjaya menyelesaikan isu perumahan ini yang hampir 27 tahun tertangguh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri KPKT, Nga Kor Ming atas usahanya dalam merealisasikan impian berkenaan.

Ramanan, yang turut dipertanggungjawabkan menjaga hal ehwal komuniti India memaklumkan, Perdana Menteri sering mendapatkan maklumat terkini mengenai isu komuniti India dan inisiatif yang dilaksanakan melalui agensi berkaitan serta dirinya.

Kerajaan Madani, melalui KPKT, telah bersetuju dengan cadangan pembangunan Projek Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni Madani Bestari Jaya, Tanjung Karang, Selangor, yang dianggarkan bernilai RM75 juta.

Projek ini melibatkan peruntukan RM40 juta daripada Kerajaan Persekutuan dan RM35 juta daripada Kerajaan Negeri Selangor.

Ia dibangunkan di atas tanah seluas 20 ekar yang diberikan secara percuma oleh Berjaya Corporation Berhad (BCB).

PRR Harmoni Madani Bestari Jaya menawarkan kediaman teres satu tingkat dalam kategori jualan terus (outright sale) dengan 245 unit rumah.

Projek ini turut dilengkapi dengan kemudahan seperti tadika, taska, kedai, gerai, dewan komuniti dan taman permainan kanak-kanak.

Rumah-rumah ini bakal dihuni oleh 245 keluarga pekerja ladang dari lima ladang utama, iaitu Ladang Mary, Ladang Nigel Garder, Ladang Bukit Tagar, Ladang Sungai Tinggi dan Ladang Minyak.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini