Tumpuan :
Nasional

Isu perang perdagangan, PLKN 3.0, antara tumpuan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Isu perang perdagangan global, kebajikan pekerja asing, dan pemulihan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) antara perkara yang dibangkitkan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Mesyuarat di portal rasmi parlimen, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng meminta penjelasan Perdana Menteri mengenai pendirian Malaysia terhadap perang perdagangan dunia yang dicetuskan tarif Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump serta langkah fiskal untuk melindungi ekonomi negara.

Sementara itu, Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee menggesa kerajaan menilai semula dasar penghasilan 70 peratus beras tempatan dan pengimportan 30 peratus beras luar demi memastikan industri padi kekal mampan selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, meminta penjelasan Menteri Pertahanan mengenai kemungkinan pelaksanaan PLKN 3.0 di Sarawak serta kriteria pemilihan pelatih dan modul latihan yang akan digunakan.

Isu kebajikan pekerja asing dalam sektor perladangan turut dibangkitkan Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta, yang meminta Menteri Perladangan dan Komoditi menjelaskan langkah memastikan hak pekerja dilindungi serta inisiatif menarik tenaga kerja tempatan ke sektor ini.

Selain itu, Ahli Parlimen Batu, Prabakaran Parameswaran, menggesa Perdana Menteri menyatakan langkah yang diambil bagi menangani masalah pembuangan sampah haram di kawasan pelancongan dan pusat bandar.

Antara isu lain yang turut dibangkitkan dalam sesi Dewan Rakyat hari ini termasuk hubungan ASEAN-BRICS, pindaan Akta Pemberi Maklumat 2010, keciciran pelajar B40, dan masalah ketagihan rokok elektronik dalam kalangan pelajar sekolah.

Persidangan Dewan Rakyat bakal berlangsung selama 18 hari, turut menyaksikan Ahli Parlimen akan mengambil bahagian dalam perbahasan usul itu selama tujuh hari mulai hari ini.

Sidang Parlimen kemudian diteruskan dengan sesi jawapan oleh menteri berkaitan pada 19 hingga 25 Februari.

Sesi pembentangan rang undang-undang (RUU) dan urusan kerajaan yang lain akan berlangsung enam hari terakhir persidangan bermula 26 Februari.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini