Tumpuan :
Nasional

`Isu penggunaan kalimah Allah, keputusan sejak 1986′ – Anwar

REMBAU: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan isu penggunaan kalimah Allah sudah diputuskan oleh Majlis Raja-Raja Melayu dan kerajaan sejak 1986.

Perdana Menteri berkata, penggunaan nama Allah itu memang digunakan untuk masyarakat Islam dan kitab orang Islam serta tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam.

“Tetapi untuk Sabah dan Sarawak, diputuskan ia dibolehkan. Itu keputusan sejak 1986, yang diperakui dan diperkenankan oleh Raja-Raja.

“Sebab itu, dalam mesyuarat Jemaah Menteri, saya sendiri menghubungi Yang di-Pertuan Agong bahawa Jemaah Menteri membuat keputusan memperakui dan memperkenankan yang (sedia) ada, tidak ubah (keputusan itu).

“Tetapi, jika hendak memperkemaskan lagi supaya tidak timbul pertikaian di mahkamah dan sebagainya, kita akan usulkan beberapa cadangan memperkemaskan keputusan itu.

“Maka, Yang di-Pertuan Agong perkenan dan kita akan bawa untuk pertimbangan dan perkenan Raja-Raja Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika meninjau lokasi kebakaran bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato Haji Hassan Sail (SEMADAH), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan dan Pengetua SEMADAH, Nor Iskandar Muhammad.

Mengulas mengenai pertikaian isu itu di mahkamah, Anwar, yang juga Ahli Parlimen Tambun, berkata sepatutnya isu kalimah Allah tidak perlu dibangkitkan dan soal kerajaan tidak membuat rayuan itu adalah berkaitan dengan Sarawak.

“Isu soal tidak rayu itu adalah berkaitan dengan Sarawak, ia sudah dimuktamadkan pada 1986.

“Kita nak bawa ke mahkamah tapi tahu memang tiada kes untuk menang, tak cerdiklah nama tu. Tapi, kita nak tunjuk kita harus tegas dan tidak bertolak ansur kerana kita Islam. Islam pun guna fakta, guna dasar keputusan.

“Ini bukan keputusan saya, tapi keputusan Raja-Raja dan keputusan kerajaan dari dulu, termasuk semasa parti lain yang memerintah. Dua tiga tahun yang lalu, dia tak ubah pun, tiada perubahan sama sekali, jadi (adakah) kita harus dikecam kerana tidak bertegas?” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sedia menerima pandangan tetapi jangan cuba menabur fitnah, sebaliknya harus menggunakan fakta seperti mana diputuskan dalam Jemaah Menteri iaitu tiada pertukaran sama sekali.

Terdahulu, media melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sudah mengemuka nota kepada Jemaah Menteri mengenai keputusan KDN menarik balik rayuan di mahkamah berhubung keputusan penggunaan kalimah Allah.

Penarikan rayuan itu berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland

Lawrence Bill, yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lalu.

Loading...
Terkini