LUMUT: Melanggar syarat lesen dan beroperasi tanpa permit antara kesalahan lazim yang dikesan oleh Jabatan Perikanan Malaysia terhadap nelayan di sekitar perairan negara.
Sehingga kini masih terdapat segelintir nelayan yang dikesan menceroboh kawasan laut pantai, meskipun telah dilesenkan mengikut empat bahagian zon menangkap ikan seperti diperuntukkan oleh sistem pelesenan perikanan semasa.
Bagi membanteras isu pencerobohan zon, Jabatan Perikanan Malaysia memperhebat operasi rondaan laut sekitar kawasan perairan zon pantai barat Semenanjung Malaysia.
Ia susulan kawasan berkenaan menjadi tumpuan nelayan kerana mempunyai kemudahan akses seperti pelabuhan dan infrastruktur yang baik.
Operasi yang dilancarkan baru-baru ini membabitkan dua buah aset jentera laut dengan kekuatan seramai 10 anggota Jabatan Perikanan dari Pangkalan Konservasi dan Perlindungan Perikanan (CKOPP) Kampung Acheh dan Kuala Kurau.
Ia turut disertai krew 999.
Antara kesalahan dikesan adalah sebuah vesel yang dalam perjalanan menuju ke pangkor bagi urusan jualan hasil laut dan menggunakan khidmat awak-awak warga asing tanpa permit yang sah.
Pemantauan laut pasukan rondaan turut mengesan sebuah bot tunda haram yang dipercayai menceroboh perairan Zon A.
Pengarah Perikanan Perak, Mohd Ghazali A Manap menyeru masyarakat khususnya golongan nelayan menjadi ‘mata dan telinga’ dalam menyalurkan maklumat mengenai kegiatan pencerobohan zon penangkapan ikan.
“Nelayan perlu beroperasi mengikut zon yang ditetapkan, sebarang pencerobohan kawasan telah melanggar syarat-syarat lesen itu akan merugikan nelayan sendiri,” katanya kepada 999.
Tonton laporan khas ‘Pelindung Khazanah Marin Negara’ dan pelbagai rangkuman kes sepanjang minggu dalam program 999 malam ini di TV3.
Program 999 bersiaran setiap Selasa, jam 9 malam dan strim sekarang melalui Tonton!
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.