Oleh: Syafiqah Damanhuri
KUALA LUMPUR: Isu pembelian senjata, aset dan keistimewaan helikopter untuk kegunaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak wajar dibahas secara umum.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak bersetuju sekiranya isu berkenaan dibawa ke Jawatankuasa Parlimen.
“Tidak ada negara di dunia ini yang bincang soal keperluan teknikal keselamatan untuk bicara secara umum. Tidak boleh.
“Saya tidak setuju kalau isu-isu pembelian senjata ini pun kita dah umumkan setakat yang boleh diumumkan, tetapi apakah keistimewaan setiap helikopter itu untuk TUDM, TLDM saya tidak fikir boleh dibiarkan oleh Jawatankuasa Parlimen.
“Itu pandangan saya, boleh nanti kalau perlu (Ahli Parlimen) minta Menteri Pertahanan atau Menteri Dalam Negeri teliti semula apa yang boleh disampaikan.
“Tetapi saya tidak fikir wajar untuk keselamatan negara, untuk kita bincang secara teliti soal spesifikasi dan keperluan dan kekuatan masing-masing kelengkapan tentera kita,” Katanya ketika menjawab soalan pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Parlimen, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pertanyaan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang mencadangkan penyewaan aset itu terlebih dahulu dibawa ke Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang terdiri daripada pihak kerajaan dan pihak pembangkang bagi perlaksanaan yang lebih telus.
Selain itu, Perdana Menteri turut menjawab isu mengenai spesifikasi aset udara itu ditentukan oleh agensi serta cabang perkhidmatan ketenteraan masing-masing.
“Spesifikasi itu ditentukan oleh badan ataupun TLDM, TUDM ikut keperluan mereka. Tidak semua Helikopter (Syarikat) Leonardo itu dalam satu jenis, bomba lain, dia kena bekalan air yang lain bekalan senjata itu secara detailnya tentu dipersiapkan dan yang minta dan beri syarat ini ialah pasukan bukan Kerajaan.
“Maknanya TUDM, TLDM masing-masing mengemukakan keperluan mereka dan ini telah diambil kira oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dalam memberikan recommendation kerana ini masuk operate dan maintain (MRO).
“Yang dibangkitkan juga ialah tentang sama ada dia ada keupayaan, jadi saya fikir ini ditentukan oleh badan-badan yang berkaitan ataupun agensi berkaitan.
“Mereka tetapkan spesifikasi dan ia mesti dipenuhi dan sebab itu Leonardo dia bangkitkan tentang keperluan dia buat beberapa penyesuaian untuk memenuhi permintaan dan pengguna dan saya tidak fikir dia jadi masalah,” tambahnya lagi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.