Oleh Hamdi Fahmi Mohamad Zaki
KUALA LUMPUR: Isu berkaitan bayaran royalti kepada penggiat industri filem akan diberi perhatian oleh kerajaan selepas ini.
Perdana Menteri,Datuk Seri Is mail Sabri Yaakob berkata setakat ini tiada akta yang menjamin kepentingan golongan terbabit.
Menurut beliau, isu itu pernah dibincangkan ketika beliau memegang jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Malah, katanya, dalam tempoh sama, Akta Hak Cipta berjaya dipinda bagi memberi royalti kepada penyanyi dan komposer.
“Dari segi perfileman hanya di bayar (one-off) walaupun filem tersebut ditayangkan berkali-kali kali tidak ada royalti kepada pelakon atau penerbit”
“Jadi waktu saya itu, kita baru bermula. Saya harap perkara ini boleh dilihat kembali bagi kita jaga kepentingan pelakon, penerbit, pengarah dan sesiapa sahaja terlibat dalam aktiviti perfileman.
“Insya-Allah, saya sebagai Perdana Menteri, mungkin tak sempat untuk saya sendiri lakukannya. Tetapi asas saya sudah letakkan, mungkin kita bagi Tan Sri Annuar Musa sendiri (Menteri Komunikasi dan Multimedia) untuk melihat perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penutupan Program Eksplorasi Komuniti Kreatif Keluarga Malaysia (Ekspresi@Finas), di sini, hari ini.