Tumpuan :
Nasional

Isu pelupusan hutang FELDA perlu ke Parlimen

PUTRAJAYA: Cara terbaik menjernihkan kekeliruan Isu pelupusan hutang FELDA adalah dengan mendedahkan semua dokumen berkaitan di Parlimen.

Bagi penganalisis politik daripada Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali, hanya menerusi Parlimen, rakyat dapat melihat dan menilai segala dakwaan terbabit sesuai dengan kedudukannya sebagai badan perundangan negara.

Artikel berkaitan: Anwar kemuka 2 dokumen sebagai bukti, desak Muhyiddin mohon maaf

“Isu hutang FELDA ini, kita lihat agak kontra antara dakwaan Perdana Menteri dan pembangkang dengan masing-masing mengatakan merekalah yang menyelesaikan isu pelupusan hutang ini.

“Sekarang kita agak buntu siapa yang bercakap benar tetapi perkara paling baik adalah mendedahkannya di Parlimen supaya tidak timbul kekeliruan kepada rakyat seperti sekarang,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) , Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, berkata inisiatif Perdana Menteri mengemukakan dokumen itu membuktikan ketelusan dan akauntabiliti kepada tata kelola yang baik diamalkannya.

Malah, beliau berkata, ia menunjukkan keterbukaan Perdana Menteri dalam membincangkan isu berkepentingan negara.

“Ini menjadi perkara perlu dicontohi dalam kalangan pemimpin termasuk pembangkang supaya isu berkepentingan negara diselesaikan dengan penuh hemah dan bijaksana dan bukan digunakan untuk meraih populariti tertentu dan berkisar kepada elemen kepartian.

“Perdana Menteri dengan penuh keterbukaan menunjukkan bagaimana ia boleh direalisasikan, menunjukkan bagaimana menandatangani itu berlaku dan seterusnya memperjelaskan bagaimana elemen kesinambungan dan keterbukaan dalam pentadbiran serta tata kelola mampu menyelesaikan polemik dan kemelut politik,” katanya.

Loading...
Terkini