comscore
Tumpuan :
Nasional

Isu Parallel Pathway: Rangka penyelesaian dihantar ke Pejabat Peguam Negara

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan isu Program Latihan Ijazah Kepakaran atau Parallel Pathway, akan diselesaikan dengan kadar segera dan satu rangka cadangan penyelesaian telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk diteliti.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, perbincangan dengan Kementerian Kesihatan telah diadakan baru-baru ini, bagi mencari penyelesian melibatkan aspek perundangan selain isu berkaitan pengiktirafan terhadap program-program perubatan yang ditawarkan di universiti.

“Kerajaan kini meneliti penyelesaian tuntas yang turut melibatkan aspek perundangan seperti sebarang pindaan kepada Akta Perubatan 1971, selain perkara berkaitan pengiktirafan terhadap program-program perubatan yang ditawarkan di universiti.

“Kita telah pun melihat dengan lebih mendalam dan (mengenal pasti) ia perlu diselesaikan berkaitan dengan hal-hal yang ada dalam peruntukan perundangan,” katanya selepas menghadiri graduasi program latihan investED anjuran Suruhanjaya Sekuriti di sini, hari ini.

Isu Parellel Pathway, menjadi tumpuan apabila Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta Universiti Teknologi MARA (UiTM) membenarkan kemasukan pegawai perubatan bukan Bumiputera yang ingin mendapatkan latihan khusus bidang kardiotoraks, sama seperti institusi itu menerima pelajar antarabangsa.

Ia selepas Majlis Perubatan Malaysia (MMC) menolak permohonan empat pakar bedah kardiotoraks untuk disenaraikan dalam Daftar Pakar Kebangsaan, ekoran Fellowship of Royal College of Surgeons of Edinburgh in Cardiothoracic Surgery (FRCS Ed) yang diperoleh mereka, tidak diiktiraf.

Datuk Seri Zambry berkata, isu berkenaan tidak sepatutnya hanya difokuskan tentang soal kemasukan sementara empat doktor berkenaan ke UiTM, tetapi juga mengenai mengapa MMC tidak mengiktiraf kelayakan akademik mereka.

“Tidak adil kalau kita membuat tuduhan kepada UiTM kononya terlalu rigid sehingga tidak mahu memberi ruang, tidak ada belas kasihan langsung kepada kes-kes yang terdesak.

“Ia melibatkan MMC. Walaupun mereka (doktor) sudah boleh lulus keluar untuk sementara jika UiTM beri ruang, tetapi akhirnya nanti MMC akan terima mereka atau pun tidak? Ini sebenarnya yang menjadi persoalan,” katanya.

Selain itu, beliau turut meminta orang ramai memberi keyakinan terhadap usaha penyelesaian yang sedang dirangka dan isu tersebut tidak sepatutnya dijadikan bahan permainan politik mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan membesar-besarkannya.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini