comscore
Tumpuan :
Nasional

Isu pakaian ketat kes terpencil, beri fokus kepada isu kebajikan jururawat – CUEPACS

Foto : NSTP



Oleh: Shuhadah Marzuki

PETALING JAYA: Isu berkaitan kebajikan serta tekanan kos sara hidup jururawat perlu diberi perhatian berbanding isu pakaian ketat.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat berkata, isu pakaian jururawat tidak perlu diperbesarkan.

Ini kerana penetapan kod pakaian jururawat dalam perkhidmatan awam telah dibuat berdasarkan garis panduan yang sentiasa ditambah baik.

”Pemakaian seluar panjang dengan baju berlengan panjang ketika ini adalah amat sopan dan telah menutup aurat.

”Rekaan pakaian tersebut juga memudahkan pergerakan jururawat ketika melaksanakan tugas yang sentiasa memerlukan pergerakan fizikal.

”Soal pakaian ketat tersebut adalah lebih kepada individu dan tidak menggambarkan keseluruhan jururawat dalam perkhidmatan awam,” katanya kepada satu kenyataan hari ini.

Kata Adnan lagi, menjadi tanggungjawab ketua jabatan untuk membuat teguran dan memastikan etika pemakaian kakitangan masing-masing mematuhi garis panduan ditetapkan.

Adnan dalam kenyataannya berkata, pandangan dan teguran yang diutarakan oleh Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor perlu diterima secara positif oleh semua pihak dan tidak menjadikan ia sebagai modal politik semata-mata. 

Bagaimanapun, CUEPACS meminta ahli-ahli Dewan Rakyat membawa isu-isu yang lebih besar serta memberi manfaat kepada kebajikan penjawat awam dan sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Ketika ini juga jururawat di seluruh negara berhadapan dengan beban tugas yang berat.

Ada dalam kalangan jururawat terpaksa bertugas melebihi norma waktu, disebabkan kekurangan petugas.

Loading...
Terkini