Oleh Baharuddin Mohamed
MELAKA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberi jaminan akan menyelesaikan masalah perolehan bekalan kad pengenalan diri kanak-kanak bercop (MyKID) dalam tempoh enam bulan lagi.
Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, isu kekurangan bekalan Mykid itu berlaku sejak pandemik COVID-19 apabila masalah kekurangan microcip berlaku berpunca daripada permintaan tinggi di peringkat global termasuk penggunaan dalam bidang automotif.
Bagaimanapun menurutnya, jumlah pemohon yang masih belum mendapat MyKid adalah rendah.
“Kita tidak menyekat sebarang permohonan tetapi setelah perolehan baharu bekalan cip diterima, kita akan serahkan secara berperingkat.
“Kita dalam proses perolehan baharu serta cuba selesaikan dalam tempoh enam bulan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan MyKad kepada seorang kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) yang terlantar sakit di Bukit Godek, Semabok di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah JPN Melaka, Norazalee Sulaiman.
Menurut Ruslin, semua agensi kerajaan mahupun swasta seharusnya menerima penggunaan sijil kelahiran bagi ibu bapa yang masih menunggu kelulusan permohonan MyKid.
“Jangan ingat MyKid satu-satunya dokumen diiktiraf kerana sijil kelahiran juga dokumen sah dikeluarkan kerajaan.
“Saya juga mohon ibu bapa agar bersabar, kita faham ada rungutan dan JPN sedang berusaha mempercepatkan proses ini,” katanya.
Ujarnya, JPN sedang berusaha menyelesaikan tunggakan permohonan MyKid yang dihadapi sejak industri pengeluaran mikrocip global terjejas akibat Covid-19 pada tiga tahun lalu.
“Kita dalam proses untuk menyelesaikan tunggakan permohonan disebabkan masalah kekurangan mikrocip di peringkat global.
“Jadi, JPN bercadang dalam tempoh masa ini kita akan membuat penangguhan sementara pengeluaran MyKid, bagaimanapun proses ini pasti dilaksanakan juga setelah perolehan bekalan mikrocip dapat diselesaikan dalam tempoh enam bulan,” katanya.
Jelasnya, kad MyKid itu akan dikeluarkan secara berperingkat menggunakan bekalan stok yang masih ada, namun keutamaan diberikan kepada kes-kes tertunggak.
“Jangan ingat Mykid satu-satunya dokumen diiktiraf kerana sijil kelahiran juga dokumen sah dikeluarkan kerajaan, saya juga mohon ibu bapa agar bersabar, kita faham ada rungutan dan JPN sedang berusaha mempercepatkan proses ini,” katanya.