Tumpuan :
Nasional

Isu mental murid: Saringan Minda Sihat mekanisme pengesanan awal – KPM

Oleh: Fareez Azman

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa memberi keutamaan dalam menangani isu kesihatan mental dalam kalangan murid di negara ini terutama melibatkan mangsa buli.

Menterinya, Fadlina Sidek memaklumkan beberapa modul telah dilaksanakan pihaknya dalam mengenal pasti sekiranya terdapat murid mengalami gangguan psikologi.

“KPM melaksanakan Saringan Minda Sihat digunakan sebagai mekanisme pengesanan awal untuk mengenal pasti murid yang berhadapan dengan masalah gangguan emosi.

“Saringan Minda Sihat dilaksanakan sekali setahun kepada semua murid tahun lima hingga tingkatan enam manakala murid yang dikenal pasti mempunyai masalah gangguan emosi teruk dan sangat teruk saringan minda sihat dilaksanakan sebanyak dua kali setahun,” jelasnya.

Menjawab soalan Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing dalam sesi pertantaan menteri di Dewan Rakyat berhubung insiden tragik melibatkan beberapa murid dipercayai akibat dibuli, jelasnya talian KPM turut menyediakan talian sokongan psikososial kepada setiap murid yang memerlukan bantuan.

“Murid yang menunjukkan tanda-tanda awal kemurungan diberikan bantuan segera melalui intervensi berfokus menggunakan Modul Minda Sihat, Modul Program Intervensi Minda Sihat (PRISMA) dan Modul Kesihatan Mental Remaja.

“Modul-modul ini menerapkan kemahiran menangani stres, kemahiran menyelesaikan masalah dan menguruskan emosi dengan baik. KPM menyediakan akses kepada bahan psikopendidikan yang disebarluaskan melalui infografik, video pendek, laman minda sihat, panduan kesejahteraan diri di pelbagai platform media sosial.

“Talian sokongan psikososial melalui panggilan telefon, aplikasi WhatsApp dan Telegram turut disediakan untuk menyampaikan maklumat serta saluran kepada murid mendapatkan bantuan apabila berhadapan dengan sesuatu masalah atau kecelaruan minda,” katanya lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini