Oleh: Nurul Amalina Zainudin
KUALA LUMPUR: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) akan menjalankan pemeriksaan ke atas lif baharu di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang setelah permohonan dibuat oleh kontraktor, tegas Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Katanya, kelewatan dalam penggantian lif baharu di PPR itu melibatkan fasa pertama membabitkan 18 lif dan fasa kedua, 20 lif.
Nik Nazmi dilaporkan turun padang ke PPR Desa Rejang pada 13 Disember lalu untuk meninjau keadaan lif dan turut menemui penduduk, pihak pengurusan, serta kontraktor lif.
“Saya melawat Blok L, di mana satu lif sudah diganti baharu, tetapi lif lain sering rosak. Pihak pengurusan telah membaikinya. Di Blok D pula, satu lif diganti baharu, tetapi tiada lif lain berfungsi,” katanya.
Beliau turut dimaklumkan mengenai pemegang tangga di beberapa blok yang reput atau telah tercabut.
“Susulan lawatan itu, saya telah mengutus surat pada 16 Disember kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Menteri Wilayah untuk memohon baik pulih segera semua pemegang tangga yang terjejas,” tambahnya.
Nik Nazmi juga menggesa tindakan segera diambil untuk menyelesaikan isu lif yang berlarutan sejak tiga tahun lalu dan telah berhubung dengan pihak berkaitan termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 2021.
PPR Desa Rejang adalah salah satu daripada lima PPR di Kuala Lumpur yang menerima peruntukan RM33.6 juta di bawah Belanjawan Madani untuk penggantian lif.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.