Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Sebarang isu berbangkit berkaitan Laut China Selatan perlu diurus melalui saluran diplomatik.
Perkara itu dimaklumkan Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil apabila ditanya dakwaan penampakan kapal perang tentera laut China di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Malaysia.
Menurutnya, perkara itu juga tidak dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini hari ini.
“Kita tidak bincang perkara ini secara khusus tapi sebarang isu berbangkit diurus melalui saluran diplomatik,” katanya dalam sidang media mingguan pasca mesyuarat Kabinet.
Pada 9 September lalu, Kementerian Luar dilaporkan mengambil maklum mengenai laporan kehadiran kapal peninjau tentera China dan Pengawal Pantai China yang berlegar di perairan EEZ Malaysia berdekatan Sarawak.
Ia susulan kehadiran kapal itu tular di media sosial sehingga menimbulkan rasa cemas netizen.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, agenda khusus untuk dibawa ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) tidak dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet
Ia memandangkan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak menghadiri mesyuarat hari ini.
Beliau berkata Mohamad bersama beberapa Menteri akan mewakili kerajaan dalam UNGA yang dijadual berlangsung di New York pada 22 September ini.
Hari ini media melaporkan, 20 negara dijangka menyertai satu persidangan di luar UNGA bagi membincangkan isu tuntutan Laut China Selatan dengan China.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.