KUALA LUMPUR: Semua hospital yang menjadi ahli Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) perlu memenuhi kriteria pematuhan yang ketat, termasuk undang-undang dan peraturan berkaitan.
MHTC dalam kenyataan menegaskan, ia bagi memastikan hospital berkenaan menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi dan menjaga kepercayaan pesakit antarabangsa.
“MHTC hanya memantau hospital yang berdaftar sebagai ahli majlis berkenaan.
“Isu berkenaan klinik haram dan penguatkuasaan terhadap doktor palsu bukan di bawah bidang kuasa pemantauan MHTC.
“Pemilihan ejen pelancongan perubatan atau mana-mana pihak yang terbabit adalah tanggungjawab setiap hospital individu.
“MHTC tidak terbabit secara langsung dalam pemilihan atau pemantauan terhadap ejen yang dilantik hospital,” katanya semalam.
Kenyataan MHTC itu susulan penegasan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, semalam, bahawa pihaknya tidak menolak kemungkinan lebih banyak serbuan dibuat pihak berkuasa terhadap klinik yang beroperasi secara haram dalam kalangan warga asing menggunakan doktor palsu di negara ini.
Ia susulan serbuan terhadap 10 premis di ibu kota yang disyaki beroperasi sebagai klinik secara haram sejak setahun lalu dan berhasil menahan 10 lelaki warga Bangladesh menyamar sebagai doktor di setiap tempat terbabit.
Saifuddin berkata, isu itu bermula apabila ada pihak mengambil kesempatan terhadap inisiatif kerajaan yang menggalakkan aktiviti pelancongan perubatan bagi menarik pesakit mendapat rawatan di Malaysia.
Mengulas lanjut, MHTC berkata, badan itu kekal komited untuk menyokong inisiatif kerajaan dalam menjadikan Malaysia destinasi pelancongan perubatan premium yang selamat dan berkualiti.
“Kami juga akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan untuk memastikan integriti dan reputasi sektor pelancongan perubatan Malaysia terpelihara,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.