Tumpuan :
Nasional

Isu khemah: Hormat peraturan, jangan boikot melulu – Aminuddin

Payung pantai baharu yang dipasang di Pantai Teluk Kemang. – Foto fail NSTP

SEREMBAN: Orang ramai diminta menghormati peraturan larangan pemasangan khemah awam di 11 pantai di Port Dickson dan tidak membuat keputusan melulu dengan memboikot pusat peranginan itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia susulan respons warganet terhadap tindakan penguatkuasaan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) yang melarang penggunaan khemah sendiri oleh orang awam.

“Bagi saya kita sentiasa terbuka dan saya harap masyarakat menghormati peraturan yang telah dibuat.

“Kalau tiada peraturan, kita lagi susah. Kalau tiba-tiba esok, ada kes rogol dalam khemah, yang dipersalahkan nanti pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Menteri Besar kerana telah bagi kebenaran,” katanya.

Aminuddin berkata demikian ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Projek Masjid Taman Bukit Kepayang, di sini, malam tadi.

Aminuddin berkata, sebelum ini pengunjung dan warganet membuat rungutan mengenai isu khemah biru dan pihaknya mencari penyelesaian terbaik untuk semua pihak.

Bagaimanapun Aminuddin berkata, selepas menetapkan peraturan bagi menyelesaikan isu khemah biru, timbul pula isu ketidakpuasan hati berhubung larangan pemasangan khemah awam sehingga ada yang mahu memboikot.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, masyarakat perlu diberi kesedaran bahawa pantai adalah milik umum dan pada masa sama perlu juga sensitif terhadap nasib peniaga di kawasan itu.

“Jangan esok kita boikot, kita merugikan bangsa kita sendiri. Orang tempatan sediakan khemah, kita serang dia, tapi orang luar boleh datang bila-bila masa.

“Jangan ikut perasaan, tetapi kita tengok keselamatan, kesesuaian, adab dan suasana,” katanya.

Sebelum ini tular di media sosial pihak MPPD melakukan tindakan penguatkuasaan terhadap khemah awam susulan isu khemah biru yang mana pihak PBT menyediakan payung ala bali melalui peniaga khemah tempatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini