Tumpuan :
Nasional

Isu kemiskinan, sekolah daif, gaji penjawat awam terus diberi tumpuan tahun depan – PM

Foto hiasan

PENAMPANG: Kerajaan Perpaduan akan terus memberi tumpuan kepada pengurusan hal ehwal rakyat termasuk menoktahkan kemiskinan, menyelesaikan isu sekolah daif dan menyelaraskan gaji penjawat awam di seluruh negara, tahun depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemusatan tumpuan kepada aspek itu adalah amat penting bagi memastikan rakyat, tanpa mengira latar belakang kaum dan agama, dapat menikmati hidup yang lebih selesa.

Beliau berkata kemiskinan antara isu asas yang perlu diselesaikan terlebih dahulu memandangkan masih ramai rakyat dibelenggu masalah itu dan termasuk dalam kategori miskin tegar.

“Alhamdulillah, sampai bulan Disember, kita hampir menyelesaikan masalah ini. Miskin masih ramai, tapi saya maksudkan miskin tegar. Kita selesaikan kerana muafakat dan kerjasama antara kementerian, pegawai di semua peringkat, kerajaan negeri, daerah dan mukim,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan 2023 di Buhavan Square di sini, hari ini.

Bertemakan “Penjaja dan Peniaga Kecil Nadi Ekonomi MADANI”, karnival itu dianjurkan sebagai tanda pengiktirafan kerajaan kepada komuniti penjaja dan peniaga kecil di negara ini.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan, peluang anak-anak di negara ini termasuk di Sabah untuk mendapat pendidikan lebih baik perlu seiring dengan arus pembangunan dan transformasi digital dengan penyediaan infrastruktur sekolah yang lebih kondusif serta efisien.

“Tahun lalu, kita nak AI (Kecerdasan Buatan), kita nak perubahan, transformasi digital, kita nak peralihan tenaga, semua bunyinya hebat dan memukau, tetapi sekolah daif masih ada. Jadi, bagi peluang kepada anak-anak kita pergi sekolah selesa. Jangan ada sekolah dinding pecah, bumbung bocor dan tandas rosak,” katanya. – BERNAMA

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini