ARAU: Tidak timbul isu kelewatan menaik taraf sekolah daif di negara ini berikutan usaha itu dilaksanakan berdasarkan giliran dan jadual ditetapkan kerajaan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kerajaan sangat komited memastikan akses pendidikan terbaik untuk murid di negara ini dan proses menambah baik sekolah usang dilakukan secara berterusan.
“Semua projek adalah mengikut tempoh masa yang ditetapkan Jabatan Kerja Raya (JKR), jadi tak timbul isu ini (kelewatan naik taraf sekolah daif).
“(Sebaliknya) ia dipantau ketat, kita ada ‘dashboard’ kita untuk pantau sekolah daif ini. Insya-Allah semuanya akan kita pastikan siap mengikut garis masa yang telah kita tetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas gesaan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi agar Kementerian Pendidikan (KPM) menghapuskan segala birokrasi yang menyulitkan, sebaliknya segera menyelesaikan isu sekolah daif.
Ia susulan kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi Ahad lalu mengenai 14 sekolah dikategorikan daif di negeri itu yang sudah diluluskan peruntukan untuk dibaiki, tetapi tiada satu pun berjaya disiapkan selepas tiga tahun.
Mengulas lanjut, Fadlina berkata, sehingga Mac tahun ini 694 sekolah daif di bawah KPM berjaya disiapkan sepenuhnya, dengan 216 projek kini dalam peringkat prabina.
“Lebih 600 sekolah telah pun kita selesaikan daripada lebih 1,000 sekolah dan tinggal lebih kurang 300 lebih sahaja lagi yang tak siap.
“Jadi proses itu sentiasa kita tambah baik dari semasa ke semasa sebab itu apabila Kerajaan Madani mengambil alih kerajaan, ini tumpuan utama kita dalam menyelesaikan isu sekolah daif yang tidak pernah diselesaikan secara berfokus dengan baik sebelum ini.
“Kita bekerja dengan sangat pantas dengan kerjasama daripada agensi lain dan insya-Allah kita akan siapkan semua projek sebagaimana komitmen kita di peringkat Persekutuan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.