KUALA LUMPUR: Hospital Kuala Lumpur (HKL) dijangka mengalami kekurangan pegawai selepas 300 orang dijangka dipindahkan keluar dari Lembah Klang.
Pemindahan itu dijangka bermula hujung bulan Julai melibatkan 1,000 pegawai perubatan yang bertugas di hospital sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Menurut portal berita kesihatan, CodeBlue pemindahan untuk penempatan tetap yang melibatkan 4,200 pegawai perubatan itu akan menjejaskan HKL kerana pusat itu dijangka kehilangan 300 pegawai perubatan, majoriti dikatakan akan dipindahkan ke Sabah dan Sarawak.
Portal itu memetik sumber dari HKL yang berkata hospital yang memiliki 53 jabatan dan unit itu dijangka menerima 100 penempatan pegawai perubatan melalui sistem eHousemen.
Seorang doktor yang hanya dikenali sebagai Dr Daniel berpendapat penunjuk utama yang perlu dipertimbangkan ialah nisbah doktor kepada pesakit.
“Saya rasa kita perlu melihat nisbah doktor kepada pesakit. Kita bukan sahaja bercakap tentang berkhidmat kepada penduduk tempatan, tetapi juga orang asing. Di HKL, di jabatan kecemasan saja, kami mempunyai kira-kira 100 pegawai perubatan, dan mungkin ada yang berhujah bahawa ia sudah merupakan jumlah yang besar.
Secara keseluruhannya, HKL mempunyai sembilan hingga 10 zon kecemasan yang memerlukan perhatian. Jika bilangan pegawai perubatan yang kita ada sekarang adalah ‘besar’, kita tidak akan melakukan dua atau tiga syif,” katanya.
Sementara itu di Selangor, berdasarkan maklumat awal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Hospital Selayang dijangka kehilangan paling ramai doktor kontrak dengan 120 pegawai perubatan untuk penempatan tetap. Ini diikuti Hospital Serdang (107), Hospital Sungai Buloh (104), Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang (93) dan Hospital Ampang (55).
Walaupun dilaporkan bakal kehilangan 120 orang pegawai perubatan, Hospital Selayang tidak dimasukkan sebagai senarai pilihan dalam sistem eHousemen bagi membolehkan hospital itu menerima ketibaan pegawai baru.
Selain Hospital Selayang, kemudahan lain yang terjejas termasuk Hospital Shah Alam (45), Hospital Kajang (40), Hospital Banting (36), Hospital Cyberjaya (17), Hospital Tanjong Karang (11), Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) di Sabak Bernam (7), Hospital Kuala Kubu Bharu (5), dan Hospital Orang Asli Gombak (2).
Walaupun Hospital Selayang dan Sungai Buloh dikatakan menghadapi salah satu aliran keluar tenaga kerja yang paling teruk, CodeBlue melaporkan tiada pegawai ditempatkan untuk penempatan tetap di sana. Rata-rata pegawai perubatan di HKL dan Hospital Selayang menyuarakan kebimbangan tentang kemungkinan peningkatan beban kerja pada kakitangan sedia ada.
CodeBlue turut melaporkan selain hospital, pegawai perubatan yang berkhidmat di klinik kesihatan awam di Selangor turut terlibat dalam pemindahan itu.