comscore
Tumpuan :
Nasional

Isu kekurangan aset perubatan, sumber manusia: KKM lulus peruntukan khas kepada JKN Johor

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor akan menerima 35 jururawat tetap dan perjawatan lain termasuk Penolong Pegawai Perubatan manakala beberapa jawatan kontrak lain sedang menunggu untuk disahkan.

Menteri Kesihatan Dr. Zaliha Mustafa berkata beliau mengambil maklum lawatan mengejut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ke Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Sultanah Aminah (HSA) baru-baru ini yang berdepan kekurangan aset perubatan serta sumber manusia terutama pegawai perubatan dan jururawat sehingga menyebabkan penutupan dua wad serta 10 bilik pembedahan.

Beliau berkata isu itu sememangnya dalam perhatian Kementerian Kesihatan (KKM) dan penyelesaian segera sedang dalam tindakan dengan kerjasama agensi pusat.

“Kemas kini data dan pemetaan dilaksanakan bagi memastikan agar tiada berlaku maldistribusi petugas malah ia dapat mengenal pasti keperluan dan kehendak optimum operasi di mana-mana hospital mahupun klinik kesihatan tersebut,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru. Foto Hiasan

Dr. Zaliha berkata KKM juga telah meluluskan peruntukan khas sebanyak RM771,600 bagi pembelian aset perubatan dan bukan perubatan untuk membolehkan kedua-dua wad dapat segera dibuka.

Katanya selain itu, waran peruntukan perbelanjaan mengurus sebanyak RM634,916 telah disalurkan kepada JKN Johor bagi perolehan aset bukan perubatan bagi memenuhi keperluan mendesak di HSI dan HSA.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih atas keprihatinan semua pihak dalam memastikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik diberikan kepada rakyat.

“Usaha sedemikian dengan pendekatan ‘keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat’ adalah antara perkara penting yang digariskan melalui Kertas Putih Kesihatan yang akan dibentangkan di Parlimen pada 13 Jun (esok).

“Ini adalah demi menjamin kesaksamaan dan akses perkhidmatan kesihatan yang lebih mampan serta ia kalis masa depan,” katanya. – BERNAMA.

Loading...
Terkini