![](https://media.buletintv3.my/2025/02/SEKOLAH.jpg)
Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid
KUALA LUMPUR: Kemiskinan tidak seharusnya menjadi penghalang untuk menyambung pelajaran dan setiap pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu memainkan peranan penting dalam membantu golongan yang memerlukan.
Menurut Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, akses kepada pendidikan yang berkualiti adalah hak semua golongan, terutamanya dalam usaha untuk melahirkan generasi bijak yang mampu memacu negara ke arah masa depan yang lebih cerah.
Beliau menegaskan bahawa pendidikan adalah kunci kepada kemajuan masa depan yang lebih baik.
Mengulas lanjut, beliau berkata, setiap pelajar berhak mendapatkan peluang yang sama rata untuk berjaya tanpa mengira latar belakang sosial atau ekonomi.
Ketiadaan pendidikan yang mencukupi akan memberi impak negatif kepada masa depan negara dan generasi muda, yang pastinya perlu dielakkan.
“Saya ingin mengingatkan kepada ibu bapa betapa pentingnya pendidikan untuk anak-anak mereka, khususnya bagi ibu bapa yang berada dalam kategori B40 atau di bawah B40. Walaupun kita menghadapi kesusahan, perkara yang paling utama adalah kita perlu mengutamakan pendidikan,” katanya.
Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata demikian selepas merasmikan Program Penyampaian Sumbangan Bantuan Persekolahan bagi sesi akademik 2025/2026 di Parlimen Titiwangsa.
Sumbangan yang disalurkan oleh Yayasan Bena Nusa ini adalah khusus untuk pelajar yang menetap dan bersekolah di kawasan Parlimen Titiwangsa.
Program ini diadakan untuk memastikan pelajar dari golongan yang memerlukan mendapat bantuan yang sewajarnya bagi menyambung pelajaran mereka.
Program tersebut dibahagikan kepada tiga zon iaitu zon Pandan yang telah selesai pagi tadi, zon Kampung Baru yang dijadualkan pada 15 Februari, dan Zon Keramat yang akan berlangsung pada 16 Februari.
Johari memaklumkan bahawa jumlah penerima sumbangan bagi keseluruhan program ini adalah seramai 9,000 orang, yang menerima bantuan dalam bentuk wang tunai dan beg sekolah.
“Di kawasan Parlimen Titiwangsa ini, program seperti ini merupakan acara tahunan yang dianjurkan setiap kali menjelang musim persekolahan.
“Program ini bertujuan untuk membantu pelajar-pelajar di kawasan Titiwangsa dalam persediaan mereka untuk memulakan sesi akademik baru,” katanya.
Program ini adalah bukti komitmen kerajaan dalam memastikan pendidikan menjadi keutamaa, terutamanya bagi golongan yang kurang berkemampuan.
Ia juga menunjukkan usaha berterusan dalam memperkasa generasi muda dengan memberi mereka peluang yang setara dalam pendidikan, tidak kira latar belakang ekonomi mereka.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.