Tumpuan :
Nasional

Isu kalimah Allah: Menjunjung titah Agong, tindakan keras terhadap pihak bertanggungjawab – Na’im

Oleh: Shuhadah Marzuki 

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mohd Na’im Mokhtar menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim agar tindakan keras diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah berhubung isu kalimah Allah.

Na’im berkata siasatan terperinci sedang dilaksanakan dan pihaknya akan memastikan tindakan keras diambil terhadap individu yang bertanggungjawab.

“Kita mengharapkan apabila siasatan ini dilakukan dan pihak bersalah telah ditemui, tindakan keras seperti mana dititahkan Sultan Ibrahim yang telah saya sebutkan sebelum ini perlu dilaksanakan sebagai pengajaran,” katanya kepada Buletin TV3 selepas mengedarkan sumbangan Ramadan kepada warga kerja Media Prima Berhad di Balai Berita NSTP, Bangsar.

Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid dan Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Semalam Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim murka serta menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di sebuah rangkaian kedai serbaneka.

Baginda mengingatkan semua lapisan masyarakat supaya menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif melibatkan agama, kaum dan Raja-Raja.

Justeru, Seri Paduka bertitah mahu tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam isu ini berdasarkan siasatan pihak berkuasa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini