Oleh: Juliana Sharin
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menafikan dakwaan maklumat peribadi dalam rekod Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) disalahgunakan dan diserahkan kepada syarikat insurans bagi Skim Insurans Am Selangor (INSAN).
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan kerajaan negeri hanya berhubung dengan SPR untuk mengumpulkan data bagi tujuan prapendaftaran program itu.
Beliau mengulas isu tular di media sosial mengenai kebimbangan segelintir netizen yang mempersoalkan nama mereka didaftar dalam INSAN tanpa kebenaran.
“Sebenarnya itu data awam yang kita perolehi dan itu yang didaftarkan sebagai prapendaftaran. Sebab itu bagi mereka yang membuat prapendaftaran perlu mengesahkan dengan gambar swafoto, gambar kad pengenalan masing-masing bagi mengesahkan pendaftaran berkenaan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO kali pertama, hari ini.
Jelas beliau lagi, selepas pemilik membuat pengesahan, baru nama serta maklumat mereka terangkum dalam sistem insurans berkenaan.
“Polisi itu hanya akan termaktub selepas diserahkan dengan memenuhi beberapa kriteria iaitu swafoto dengan kad pengenalan masing-masing, barulah polisi itu diaktifkan sepenuhnya. Itu hanyalah prapendaftaran, jika tidak berminat tak perlu aktifkan maklumat peribadi.
“Kita akan jelaskan secara terperinci dan akan memantapkan kawalan kita. Jika berlaku perlanggaran terhadap data maklumat. Saya juga akan mengarahkan pihak pengendali memberikan penjelasan terperinci berhubung isu ini,” tambahnya.
Mengenai dakwaan dana pilihan raya dikaitkan dengan hasil premium insurans itu, ia disifatkan beliau sebagai tuduhan berniat jahat.
“Soalan itu berniat jahat, tiada kaitan langsung dana untuk PRN. Itu saya boleh sahkan 100 peratus atau 120 peratus,” tegasnya.
Terdahulu, Skim INSAN yang diperkenalkan oleh Kerajaan Selangor melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) mengundang persoalan dalam kalangan netizen.
Mereka mempersoalkan langkah pendaftaran nama secara automatik yang dilakukan syarikat insurans tanpa kebenaran.
Seorang pengguna mendakwa semakan secara dalam talian melalui laman sesawang programinsan.com. mendapati nama ibunya yang telah meninggal dunia pada 31 Mei 2022 telah didaftar untuk skim berkenaan pada 9 November 2022.
Seorang agen takaful pula berkata, semua produk kewangan tertakluk kepada tadbir urus yang diselia Bank Negara Malaysia dan pendaftaran tidak boleh dibuat secara automatik tanpa persetujuan tuan punya badan.