comscore
Tumpuan :
Nasional

Isu HRD Corp: SPRM teliti dokumen jika wujud elemen rasuah, penyelewengan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meneliti keseluruhan dokumen membabitkan pengurusan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) yang diterima daripada Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

SPRM dalam kenyataan mengesahkan telah menerima maklumat dan beberapa dokumen yang berkaitan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN 2/2024) terhadap agensi itu.

“SPRM akan meneliti keseluruhan dokumen bagi menentukan sama ada wujud sebarang elemen rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa di bawah Akta SPRM 2009.

“Selain daripada kesalahan jenayah, SPRM juga akan meneliti isu-isu kelemahan tatakelola yang dibangkitkan dalam LKAN 2/2024,” katanya.

Menurut SPRM, dokumen tersebut diserahkan kepada SPRM oleh Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud pada jam 11:30 pagi di ibu pejabat SPRM, di sini hari ini.

Terdahulu, Datuk Seri Khairul Dzaimee dalam sidang media selepas menyerahkan dokumen berkenaan berkata, tindakan beliau itu selaras dengan syor dikemukakan Ketua Audit Negara supaya KESUMA membuat laporan kepada agensi penguatkuasaan termasuk arahan daripada Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.

Semalam, PAC mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan Program Latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan yang bukan merupakan matlamat penubuhan agensi itu.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dilapor berkata, matlamat penubuhan syarikat adalah bagi pengenaan dan pemungutan levi pembangunan sumber manusia bagi maksud penggalakan latihan dan pembangunan kerja, perantis dan pelatih serta penubuhan dan pentadbiran Kumpulan Wang.

Sementara itu, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 yang diumumkan semalam juga mengesyorkan KESUMA merujuk kepada agensi penguatkuasaan untuk mengambil tindakan sewajarnya berhubung ketidakteraturan yang dikenal pasti terhadap pengurusan HRD Corp.

LKAN turut mendapati HRD Corp mempunyai kelemahan pengurusan dalam melaksanakan operasi dan aktiviti syarikat mengikut tatakelola dan peraturan ditetapkan hingga agensi itu belum mencapai objektif penubuhannya, termasuk petunjuk utama prestasi (KPI) 2023 dan pindaan indikator KPI tidak diluluskan lembaga pengarah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini