comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Isu HRD Corp: SPRM fokus elemen jenayah dalam siasatan


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memulakan penyiasatan berhubung isu Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) dengan mengambil dokumen berkaitan Laporan Ketua Audit Negara dari Kementerian Sumber Manusia dan HRD Corp hari ini.

Hasil analisis awal mendapati 12 rumusan teguran yang diketengahkan dalam Laporan Audit tersebut.

Namun begitu, fokus utama siasatan SPRM menjurus kepada elemen-elemen jenayah (criminality) yang tertakluk mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

“Perlu dijelaskan bahawa SPRM tidak akan menumpukan siasatan terhadap isu-isu kelemahan pengurusan dan ketidakakuran peraturan kerana perkara itu telah pun dijelaskan dan diperkemaskan oleh pengurusan HRD Corp sewaktu Exit Conference dengan Jabatan Audit Negara sebelum ini.

“SPRM menyeru semua pihak agar memberi ruang dan masa yang mencukupi bagi proses siasatan ini dilaksanakan tanpa sebarang gangguan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu Pasukan Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hadir ke KESUMA, di Putrajaya dan HRD Corp, di sini, hari ini.

Menurut sumber, kehadiran Pasukan Khas itu bagi mendapatkan beberapa dokumen berkaitan transaksi pelaburan membabitkan agensi itu.

Lima individu dipercayai pegawai SPRM dilihat masuk ke pejabat HRD Corp, Jalan Beringin, di sini kira-kira jam 11.30 pagi.

Sebelum ini, media melaporkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan.

Laporan PAC turut mendedahkan, panel pelaburan HRD Corp gagal melaporkan aktiviti pelaburan yang sepatutnya kepada Ahli Lembaga Pengarah (ALP) atas justifikasi bahawa pengerusi panel pelaburan adalah pengerusi ALP.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini