comscore
Tumpuan :
Nasional

Isu HRD Corp: SPRM ambil dokumen berkaitan di KESUMA 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kunjungi Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) hari ini bagi mendapatkan dokumen berhubung isu Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) seperti yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024.

Sepasukan empat anggota dan pegawai SPRM tiba di bangunan KESUMA pada jam 11.20 pagi tadi menaiki kenderaan tidak berlogo.

Sejam kemudian, pasukan terbabit yang hanya berpakaian biasa dilihat meninggalkan bangunan tersebut pada jam 12.22 tengah hari membawa beberapa beg dipercayai berisi dokumen berkaitan HRD Corp.

Difahamkan, anggota dan pegawai terbabit dipecahkan kepada dua pasukan dengan satu daripadanya naik ke tingkat 4 yang menempatkan Bahagian Pengambilan Pekerja Asing.

Satu lagi pasukan dikatakan ke tingkat 7 yang menempatkan Cawangan Kawal Selia dan Penguatkuasaan.

Ketika dihampiri pengamal media, seorang daripada pegawai berkenaan memaklumkan tugas mereka belum selesai dan akan hadir lagi ke kementerian itu petang nanti.

Sabtu lalu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan, agensi itu sudah menerima laporan audit yang dikemukakan Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, sehari sebelumnya.

Beliau dilaporkan berkata, berasaskan laporan audit terbabit, SPRM mengenal pasti beberapa isu yang memerlukan dokumen dan keterangan daripada pihak terbabit.

“Antaranya isu pelaburan, pengurusan dana dan latihan, pembelian harta dan sebagainya. Oleh itu, satu pasukan khas telah dibentuk dan beberapa kertas siasatan telah dibuka.

“Pasukan penyiasat akan pergi ke Kementerian Sumber Manusia dan HRD Corp bagi mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan,” katanya.

Jelasnya, beberapa individu sudah dikenal pasti dan akan diambil keterangan bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 18 dan 23 Akta SPRM 2009.

Khamis lalu, Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam LKAN 2/2024 mengesyorkan KESUMA merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan berkaitan berikutan kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dibuat.

Wan Suraya berkata, ada tindakan serta keputusan yang diambil pengurusan HRD Corp tidak mematuhi prosedur dan tidak menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat dan KESUMA perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan HRD Corp bagi ketidakteraturan yang dikenal pasti.

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada hari sama mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan yang bukan merupakan matlamat penubuhan agensi itu.

Berikutan itu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim mengarahkan Khairul Dzaimee dan Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood membuat laporan kepada SPRM.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini