comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Isu HRD Corp: KESUMA lantik juruaudit bebas, tubuh pasukan petugas khas

 


RINGKASAN BERITA

  • Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan melantik juruaudit profesional untuk menjalankan audiet bebas ke atas HRD Corp susulan laporan dari Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara terhadap operasi agensi itu.
  • Satu pasukan petugas khas yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, telah ditubuhkan untuk memudah cara siasatan yang sedang berjalan.
  • Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menjalankan siasatan dengan fokus tertumpu kepada isu rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan di bawah Akta SPRM 2009.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan melantik juruaudit profesional pihak ketiga untuk menjalankan audit bebas ke atas Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp).

Arahan itu dikeluarkan menterinya, Steven Sim demi menjamin ketelusan berikutan laporan Jabatan Audit Negara (JAN) dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) terhadap operasi agensi berkenaan.

“Audit bebas akan meneliti segala proses, prosedur, dokumentasi dan kepatuhan terhadap undang-undang serta sebarang garis panduan dalam isu- isu yang dibangkitkan dalam laporan-laporan JAN dan PAC,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, KESUMA kini dalam proses perolehan untuk melantik juruaudit tersebut dan proses perolehan dijangka selesai selewat-lewatnya pada 31 Julai ini.

Menurut Steven, tempoh masa audit bebas dan tempoh laporan akan dikeluarkan, bakal ditentukan sebaik sahaja juruaudit dilantik.

“Audit bebas tersebut akan berjalan seiring dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mana-mana pihak berkuasa lain.

“HRD Corp telah diarahkan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada semua pihak yang berkaitan,” katanya.

Pada masa sama, Steven berkata, satu pasukan petugas khas yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud telah ditubuhkan.

Pasukan itu bagi memudah cara siasatan yang sedang berjalan, meneliti laporan JAN dan PAC termasuk hasil siasatan SPRM serta audit bebas.

“Pasukan petugas khas ini seterusnya akan memastikan tindakan susulan termasuk penambahbaikan dilaksanakan dengan sepenuhnya,” katanya.

Pada Khamis lalu, Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 mengesyorkan KESUMA merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan berkaitan berikutan kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dibuat dari 2019 sehingga tahun lalu.

Wan Suraya berkata, ada tindakan serta keputusan yang diambil pengurusan HRD Corp tidak mematuhi prosedur dan tidak menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat serta KESUMA perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan HRD Corp bagi ketidakteraturan yang dikenal pasti.

PAC pada hari sama mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan yang bukan merupakan matlamat penubuhan agensi itu.

Berikutan itu, Steven mengarahkan Khairul Dzaimee dan Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood membuat laporan kepada SPRM.

Semalam, SPRM hadir ke KESUMA, di sini dan pejabat HRD Corp di ibu negara bagi mendapatkan beberapa dokumen untuk siasatan membabitkan agensi terbabit.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim dilapor berkata, setakat ini belum ada saksi yang dirakam percakapan namun tidak menolak kemungkinan akan memanggil saksi selepas semakan dokumen dilakukan.

Ujarnya, fokus siasatan tertumpu kepada isu rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan di bawah Akta SPRM 2009.

Loading...
Terkini