![](https://media.buletintv3.my/2023/08/PADI-GENERIC.jpg)
Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
PUTRAJYA: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dijadualkan menyampaikan kenyataan menteri berhubung isu harga lantai padi di Parlimen pada 13 Februari ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata kenyataan berkenaan akan menggariskan langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan bagi menangani isu berkaitan harga padi dan memastikan keterjaminan makanan negara terus terjaga.
“Jemaah Menteri telah dimaklumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan bahawa beliau akan menyampaikan kenyataan menteri ataupun ‘ministrial statement’ di Parlimen pada 13 Februari hari Khamis mengenai isu beras khusus berkait harga lantai bagi padi.
“Sejurus selepas kenyataan menteri itu, akan ada perbahasan, jadi kita sama-sama tunggu kenyataan penuh daripada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada 13 Februari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pasca mesyuarat kabinet di sini hari ini.
Sebelum ini, kerajaan telah mengumumkan beberapa inisiatif bagi membantu petani tempatan, termasuk subsidi serta bantuan teknikal bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi.
Namun, isu harga lantai padi terus menjadi perhatian, terutamanya dalam kalangan petani yang mengharapkan harga lebih kompetitif bagi menjamin pendapatan mereka.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.