KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak membuat pusingan ‘U’ dalam isu gred beras putih seperti yang didakwa, sebaliknya ia merupakan satu cadangan dan masih belum lagi diputuskan Kabinet.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ketika ini belum ada pemakluman atau perbincangan di Kabinet mengenai ketetapan (satu gred beras putih) berkenaan.
“Jadi ia bukanlah U-turn (pusingan U).
“Bagaimanapun, saya lihat kenyataan Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal itu berniat baik dan hasratnya ialah untuk membantu mengurangkan harga barang,” katanya.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan dan Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Khatan Parlimen Lembah Pantai di Masjid Al-Khadijah, Pantai Dalam, hari ini.
Beliau berkata selain itu, dalam konteks ekosistem beras, perbincangan dan penyelarasan juga perlu dilakukan bersama pengusaha, pekedai dan peruncit.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kerajaan belum membuat ketetapan untuk mewujudkan satu gred beras putih sahaja di negara ini, yang dikenali sebagai Beras Putih Malaysia MADANI.
Ujarnya sebarang pengumuman atau ketetapan yang dibuat mesti berpandukan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522], serta dimaklumkan kepada Jemaah Menteri.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.