KUALA TERENGGANU: Isu ajaran GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu susulan keputusan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang memutuskan ajaran ahli GISBH sesat.
Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu akan melihat keperluan atau membuat keputusan sama ada satu fatwa khusus berkaitan GISBH perlu dikeluarkan atau sebaliknya.
“Kita akan bawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri setelah pihak pembentang dan pihak ahli jawatankuasa dapat menentukan tarikh yang sesuai.
“Buat masa ini, kita sedang menentukan tarikh untuk mengadakan mesyuarat berkenaan dan isu ini sentiasa dalam perhatian kita,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi MKI Datuk Dr Nooh Gadut bahawa ajaran yang dibawa oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH Datuk Nasiruddin Mohd Ali dan syarikat GISBH sesat serta menyeleweng daripada ajaran Islam.
Ia diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali Ke-125 yang berlangsung pada 24 hingga 26 September lalu.
Terengganu masih belum memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam GISBH mengandungi unsur ajaran sesat berikutan tiada keperluan mendesak susulan jumlah pengikut kumpulan berkenaan tidak ramai di negeri ini.
Bagaimanapun, perkara itu akan dibincangkan dalam peringkat Majlis Fatwa Terengganu selepas menerima resolusi daripada Majlis Raja-Raja Melayu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.