Oleh: Hilmi Abdul Malik
PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar meminta Syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB) mengadakan pertemuan terlebih dahulu bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berhubung kontroversi berkaitan agama dan eksploitasi kanak-kanak.
Menurutnya lagi, JAKIM juga telah diarah untuk mengadakan pertemuan bersama pengadu melibatkan GISB bagi meneliti segala aspek.
“Saya minta mereka (GISB) jumpa JAKIM terlebih dahulu.
“Saya juga telah arahkan JAKIM untuk bertemu terlebih dahulu dengan pengadu-pengadu yang dikatakan bekas ahli GISB.
“Perkara itu agar pertimbangan yang lebih adil dapat dibuat,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3 hari ini.
Terdahulu, GISB menyatakan masih belum menerima sebarang maklum balas berhubung permohonan untuk mengadakan pertemuan bersama Datuk Mohd Na’im sejak 1 September lalu.
Ia susulan beberapa isu yang terpalit dengan syarikat berkenaan.
GISB dalam satu kenyataan hari ini berkata, segala tuduhan dan fitnah yang dikaitkan dengan GISB adalah tidak berasas termasuk isu penyelewengan akidah.
Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan ada menerima beberapa laporan di sekitar Selangor terhadap syarikat itu berkaitan eksploitasi kanak-kanak.
Ujarnya, polis sedang memantau syarikat berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.