Oleh: Syafiqah Damanhuri
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sedang menyiasat isu tular melibatkan pengguna media sosial yang memfitnah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata pihaknya mengambil maklum perkara berkenaan dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan.
“Saya ambil maklum yang individu tersebut secara khusus telah memohon maaf. Saya harap ia jadi pengajaran kepada beliau untuk tidak menomah, memfitnah tanpa asas.
“Kerana ini adalah dua individu, dua institusi yang penting iaitu Yang di-Pertuan Agong dan juga Perdana Menteri.
“Jadi untuk beliau sekiranya pihak berkuasa ingin mengambil sebarang tindakan, saya serahkan kepada pihak berkuasa. Tapi kita pantau.
“Sekiranya ada aduan daripada orang ramai, maka MCMC akan bertindak,” katanya ketika ditemui selepas melakukan rakaman Podcast Edisi Khas Buletin TV3 di Balai Berita Bangsar.
Justeru, beliau turut mengingatkan pengguna media sosial untuk bersederhana dalam menyatakan komen kerana bimbang boleh mendatangkan fitnah.
“Saya sekali lagi bagi peringatan, berpada-padalah, bersederhana dalam kita memberi komen kerana yang merisaukan sekiranya komen-komen ini melanggar undang-undang.
“Dan kita tak hendak ada satu keadaan di mana yang disampaikan itu tidak berasaskan fakta. Itu akan mendatangkan satu kemudaratan,” ujarnya.
Baru-baru ini tular seorang pengguna di aplikasi Tiktok mendakwa Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri menikmati santapan tengah hari di sebuah restoran yang tidak halal.
Bagaimanapun video berkenaan sudah diturunkan dan pengguna itu juga turut membuat permohonan maaf atas kesilapan berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.