comscore
Tumpuan :
Nasional

Isu escort tidak ada, kita cuma nak jaga keamanan – Ketua Polis Johor

JOHOR BAHRU: Polis Johor menolak pihaknya ada memberi keizinan kepada mana-mana kereta pengiring untuk mengiringi (escort) perjalanan wanita yang dikenali sebagai ‘Makcik Kemboja’ untuk meninggalkan kilangnya di Skudai, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tiada arahan sedemikian dikeluarkan dirinya mahupun Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh.

“Isu ‘escort’ yang dikatakan (menerusi TikTok) itu mana ada berlaku. Saya atau OCPD (Ketua Polis Daerah) tidak ada keluarkan sebarang arahan pun (untuk escort).

“Jadi, siapa yang tahu kes itu, tampil pada polis, beri maklumat pada polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas mengenai kekecohan yang berlaku di hadapan kilang milik usahawan wanita berkenaan semalam, Kamarul Zaman berkata, polis hadir di lokasi untuk mengawal situasi dan menjaga keamanan.

“Semalam, kita terima laporan ada berlaku kekecohan beberapa individu datang ke kilang wanita itu. Jadi, polis hadir ke lokasi untuk kawal keadaan. Itu sahaja.

“Isu escort tidak ada. Kita cuma nak jaga keamanan bila ada orang ramai berkumpul di sesuatu lokasi. Ini isu lain, isu yang dilakukan wanita itu (didakwa hina Melayu) itu isu lain yang kini dalam siasatan Polis Melaka,” jelasnya.

Hari ini, tular di TikTok seorang individu mempersoalkan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengiringi wanita yang berasal dari Kemboja itu meninggalkan kilangnya ketika kekecohan berlaku, semalam.

Dakwa individu itu, tindakan PDRM berbuat demikian adalah memalukan seolah melindungi warga asing yang telah menghina bangsa Melayu.

Hantaran individu berkenaan mengundang kecaman pengguna TikTok yang lain.

Pada masa sama, Kamarul Zaman sekali lagi menegaskan tidak ada mana-mana pihak yang membayar polis untuk mendapatkan khidmat kereta pengiring dalam kes berkenaan.

“Tiada siapa bayar siapa. Kalau benar ia berlaku dan sesiapa yang tahu, jumpa saya, beri maklumat,” katanya tegas.

Semalam, beberapa individu dipercayai bekas pekerja Kilang Jahit Pukal milik usahawan warga Kemboja di Skudai itu berkumpul di hadapan premis berkenaan bagi meminta penjelasan selepas seorang lelaki yang mendakwa anak kepada Makcik Kemboja itu mencabar untuk datang bertemu dengannya di kilang terbabit selepas berang ibunya dihina.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini