Oleh : Fareez Azman
PETALING JAYA: Badan Peguam Malaysia hari ini menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dalam menyiasat secara keseluruhan kes eksploitasi kanak-kanak yang dikaitkan dengan rumah amal dipercayai dikendalikan Global Ikhwan Services and Business Holding GISBH.
Yang Dipertuanya, Mohamad Ezri Abdul Wahab dalam satu kenyataan media hari ini berkata, di sebalik tindakan tegas yang telah diambil oleh pihak berkuasa ketika ini, satu langkah yang holistik amat perlu dalam memastikan kejadian sama tidak berulang.
“Dalam kita memuji campur tangan pihak berkuasa, kita mesti mengakui bahawa kes yang dilaporkan ini mungkin hanyalah permulaan.
“Hakikat bahawa rumah-rumah jagaan ini telah beroperasi selama bertahun-tahun tanpa pengawasan yang sewajarnya menimbulkan persoalan yang membimbangkan tentang rangka kerja kawal selia sedia ada.
“Badan Peguam Malaysia menyeru agar semua badan kawal selia, bukan sahaja PDRM dan JKM, menguatkuasakan langkah pematuhan yang lebih ketat dan memastikan rumah-rumah ini dipantau dan dikawal dengan teliti,” jelasnya.
Tambahnya, menerusi cadangan RCI itu juga, penambahanbaikan terhadap kelemahan boleh dilakukan.
“Kami menggesa Kerajaan untuk mempertimbangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), seperti yang dicadangkan oleh Dr Farah Nini dalam kenyataan media SUHAKAM, untuk menyiasat secara menyeluruh kelemahan yang membenarkan penderaan ini berlarutan selama bertahun-tahun.
“Penemuan RCI diharapkan dapat membawa pembaharuan bermakna dalam dasar perlindungan kanak-kanak dan mekanisme pengawasan institusi,”jelasnya lagi.
Tambah Mohamad Ezri, rumah jagaan yang tidak dikawal boleh membawa risiko yang besar kepada golongan rentan terutama kanak-kanak.
Justeru, kesedaran dan penyertaan awam juga amat penting dalam memastikan setiap anggota masyarakat berkerjasama dengan pihak berkuasa dalam melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan.
“Badan Peguam Malaysia menyeru agar semua badan kawal selia, bukan sahaja PDRM dan JKM, menguatkuasakan langkah pematuhan yang lebih ketat dan memastikan rumah-rumah ini dipantau dan dikawal dengan teliti.
“Adalah penting untuk kita menggunakan pendekatan holistik bagi mengelakkan tragedi tersebut berulang. Ini termasuk bukan sahaja tindakan segera terhadap pelaku, tetapi juga melaksanakan pembaharuan jangka panjang terhadap sistem yang mengawasi rumah-rumah ini,” katanya lagi.
Mengulas mengenai pendedahan pihak berkuasa baru-baru ini, tegasnya Badan Peguam Malaysia amat terkejut dan mengecam sekerasnya sebarang pelanggaran yang melampau melibatkan kanak-kanak rumah kebajikan.
“Badan Peguam Malaysia amat terkejut dan bimbang dengan pendedahan yang mengerikan berikutan serbuan oleh Polis Diraja Malaysia (“PDRM”) ke atas 20 rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan, yang dipercayai dikendalikan oleh Global Ikhwan Services and Business Holding.
“Laporan mengenai penderaan, pengantunan (grooming) dan eksploitasi seksual yang sistemik terhadap mangsa kanak-kanak di pusat-pusat ini amat mengejutkan dan menyayat hati. Badan Peguam Malaysia menyokong sepenuhnya tindakan segera yang diambil oleh PDRM dan pihak berkuasa lain yang terlibat, termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Badan Peguam Malaysia, bersama Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Dr Farah Nini Dusuki, mengecam keras pelanggaran melampau yang dialami oleh kanak-kanak dalam rumah-rumah kebajikan ini.
“Rumah-rumah ini, yang sepatutnya memberikan penjagaan dan perlindungan, malangnya, telah bertukar menjadi tempat penderaan yang mengerikan. Apa yang terjadi ini sama sekali tidak boleh diterima dalam mana-mana masyarakat yang mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan anak-anaknya,” jelasnya lagi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.