Tumpuan :
Nasional

Isu e-waste: Pengarah, pemilik syarikat antara 18 individu ditahan SPRM

Antara 18 individu yang ditahan dan direman kerana disyaki cuba merasuah penjawat awam. – FOTO: Ihsan SPRM

SEGAMAT: Pengarah dan pemilik syarikat antara 18 individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki merasuah penjawat awam direman enam hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

Perintah reman bermula hari ini sehingga Ahad ini dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman, selepas permohonan dibuat SPRM.

Kesemua mereka direman untuk siasatan berhubung balasan membantu meluluskan permohonan kemasukan warga asing sebagai pemegang saham di kilang sisa elektronik (e-waste) di Selangor dan Johor.

Menurut sumber, kesemua suspek terdiri daripada 13 lelaki dan lima wanita berusia antara 30 hingga 60-an itu ditahan antara 7 hingga 10 malam semalam.

Katanya, mereka ditahan menerusi satu operasi bersepadu yang dijalankan SPRM bersama Jabatan Imigresen dan Jabatan Alam Sekitar membabitkan serbuan ke atas 12 premis sekitar Teluk Panglima Garang, Selangor dan Segamat.

“Siasatan awal mendapati premis terbabit disyaki memproses dan melupus bahan mentah yang tidak dibenarkan seperti gentian kaca, plastik, besi dan logam.

“Seorang daripada suspek dipercayai membayar rasuah kepada penjawat awam sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan ke atas kilang milik beliau,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16 (b)(a) Akta SPRM 2009.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini