Tumpuan :
Nasional

Isu dibangkitkan dalam persidangan 3 negara antara tumpuan Dewan Rakyat

FOTO: Ihsan Parlimen

KUALA LUMPUR: Isu utama yang dibangkitkan pada persidangan berkaitan di Peru, Brazil dan Riyadh serta tahap pencapaian Kerajaan MADANI setelah mencapai usia dua tahun pemerintahan, antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen Malaysia, Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) akan bertanyakan kepada Perdana Menteri mengenai isu utama yang dibincangkan pada sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Peru, pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Beliau turut mengajukan soalan mengenai isu yang diketengahkan pada Sidang Kemuncak G20 di Brazil dan keputusan Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi serta manfaat kepada Malaysia.

Pada sesi sama, Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) akan meminta Perdana Menteri menyatakan tahap pencapaian Kerajaan MADANI setelah mencapai usia dua tahun pemerintahan dalam melaksanakan pelbagai janji reformasi antaranya usaha memerangi rasuah, memperkukuh integriti institusi, memperkasakan sistem demokrasi serta menjamin kebebasan media dan hak bersuara rakyat.

Sementara itu, pada sesi soal jawab lisan Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh) akan bertanyakan kepada Perdana Menteri berhubung langkah-langkah yang diambil oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mencegah dan menangani banjir kilat di Kuala Lumpur.

Beliau juga ingin mengetahui senarai projek pembangunan yang telah diluluskan oleh DBKL di kawasan persekitaran kolam takungan banjir sejak 2014.

Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) pula meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan program serta libat urus yang telah dilaksanakan antara kementerian itu dengan kerajaan-kerajaan negeri di seluruh negara serta pencapaian setakat ini.

Dalam sesi sama, Dr Richard Rapu @ Aman anak Begri (GPS-Betong), akan mengemukakan soalan kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi mengenai langkah-langkah yang diambil oleh kementerian untuk menyokong Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di seluruh negara, serta membantu mereka berkembang ke pasaran global.

Beliau juga ingin tahu jenis sokongan khusus yang disediakan kepada PKS dalam menghadapi cabaran global.

Selesai soal jawab, persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan sesi perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa oleh menteri daripada kementerian terlibat.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 35 hari bermula 14 Oktober hingga 12 Disember depan.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini