KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan berusaha sehabis mungkin dalam memastikan kes buli dan budaya penderaan dalam Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dihentikan serta-merta.
Ianya juga adalah selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, yang meminta semua pihak untuk berusaha menamatkan budaya tidak sihat itu dan mengembalikan semula nama baik universiti berkenaan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya akur dengan perkara yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, dan ianya adalah jelas.
“Bagi MINDEF, kita sudah membentangkan segala penambahbaikan di Parlimen malah telah mengambil tindakan sewajarnya terhadap Pegawai Kadet, Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), UPNM, yang terlibat dalam kes-kes yang berlaku sebelum ini.
“Kita juga akan mengatasinya mengikut mekanisme yang difikirkan terbaik sekiranya kes-kes seperti ini berulang,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.
Mohamed Khaled berkata, hukuman terhadap Pegawai Kadet ALK yang dikenakan sebelum ini juga adalah satu bentuk pencegahan supaya kes buli dan penderaan tidak berulang.
“Tindakan hukuman yang diberikan terhadap Pegawai Kadet ini juga adalah satu mesej jelas sekiranya kejadian buli dan penderaan berulang,” katanya.
Semalam, Sultan Ibrahim dalam titah sulung selaku Canselor UPNM, turut tidak mahu nama Baginda dikaitkan dengan UPNM sekiranya kejadian buli terus berlaku.
“Panglima dan Komandan mesti bertanggungjawab dan meletak jawatan kerana gagal menjalankan amanah.
“Saya percaya, ibu bapa menghantar anak mereka ke sini (UPNM) ke sini untuk belajar menjadi seorang pegawai tentera dan bukannya untuk didera,” titah Sultan Ibrahim.
Sebelum ini, lima Pegawai Kadet UPNM dikenakan tindakan pembatalan pelantikan sebagai Pegawai Kadet, pemberhentian kerja daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan mengenakan bayaran ganti rugi kepada Kerajaan Malaysia, yang dikira daripada keseluruhan perbelanjaan yang telah dibelanjakan sepanjang tempoh pengajian.
Tindakan yang dikenakan dan diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri 623 ini juga tidak tertakluk kepada tindakan lain yang diambil oleh UPNM sendiri mahupun Jabatan Peguam Negara.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.