comscore
Tumpuan :
Dewan Rakyat

Isu buli, kemampuan PDRM tangani jenayah siber akan dijawab menteri di Dewan Rakyat

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Persoalan berhubung usaha mengatasi masalah buli di sekolah dan langkah kerajaan meningkatkan kemampuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani trend jenayah siber antara isu akan dibangakitkan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, isu buli di sekolah yang semakin berleluasa akan disuarakan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) kepada Menteri Pendidikan dalam sesi soal jawab lisan.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri dijadual menjawab persoalan diajukan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) berhubung langkah kerajaan dalam meningkatkan kelengkapan dan kemampuan PDRM bagi menangani trend jenayah siber.

Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) pula minta Menteri Kewangan menyatakan inisiatif kerajaan untuk menggembleng kewangan hijau Islam (Islamic green finance) bagi menampung sebahagian pembiayaan menjayakan agenda negara karbon neutral menjelang 2050 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Manakala, hal berkaitan jumlah kanak-kanak bawah seliaan Institusi Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang masih belum mendapat dokumen pengenalan diri akan diketengahkan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Usai sesi itu, persidangan Dewan Rakyat menyambung semula sesi penggulungan bagi peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 oleh beberapa kementerian.

Penggulungan oleh kementerian itu dijadual berlangsung selama empat hari bermula Isnin dan seterusnya diikuti perbahasan rang undang-undang  berkenaan bagi peringkat jawatankuasa selama 12 hari bermula 6 November.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 32 hari bermula 9 Oktober hingga 30 November depan. – BERNAMA

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini