KUALA LUMPUR: Satu pendekatan menyeluruh perlu diambil dalam menyelesaikan sebarang isu buli di institusi pengajian tinggi (IPT), termasuk di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) susulan beberapa kejadian buli yang dilaporkan di universiti itu.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata perkara seumpama itu tidak boleh dibiarkan terus berlaku tanpa ada tindakan penyelesaian yang sewajarnya diambil supaya ia tidak berulang.
“Apabila kejadian ini berlaku, apa yang kita lakukan adalah perlu ada pendekatan menyeluruh bagaimana nak menyelesaikan.
“Dalam konteks UPNM itu sendiri, apakah sistem yang ada itu sesuai atau tidak, dengan adanya dua sistem (sistem pengajian kuliah dan Akademi Angkatan Tentera) dan adakah kita perlu menstruktur balik dari segi sistem pengajian yang ada di sana.
“Dalam konteks universiti lain, kita tubuhkan dalam Majlis Hal Ehwal Pelajar yang ada untuk pastikan kes buli ini tidak berlaku dan pendekatan yang dibuat universiti, dan sebab itu sehingga kini di universiti lain, kita belum ada kes yang seserius ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, hari ini menitahkan supaya budaya penderaan di UPNM perlu dihentikan serta-merta.
Dalam titah sulung selaku Canselor UPNM, baginda meminta semua pihak untuk berusaha menamatkan budaya tidak sihat itu dan mengembalikan semula nama baik universiti berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.